ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri bertekad membasmi kemiskinan dalam tempoh lima tahun akan datang, iaitu menjelang 2027.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu melibatkan seramai 4,700 orang yang dikategorikan sebagai miskin tegar di negeri ini.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan salah satu hala tuju kerajaan negeri yang mahu memastikan Johor menjadi negeri maju tanpa melupakan golongan rentan.
“Negeri ini mempunyai populasi penduduk seramai empat juta orang, namun masih lagi ada mereka yang miskin. Bukan sahaja masih terdapat golongan miskin, malah ada mereka yang tergolong dalam miskin tegar.
“Saya telah berbincang dengan sahabat saya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail dan beberapa Exco serta agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan sebagainya.
“Kita perlu gembleng tenaga rapatkan saf untuk pastikan bahawa angka ini menjadi sifar dalam masa lima tahun. Ini tanggungjawab bukan sahaja saya, tapi semua pemimpin,” katanya pada Majlis Perasmian Sentuhan Keluarga Johor 2023 di Kompleks Sukan EduCity, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, pada Belanjawan Johor yang dibentangkan tahun lepas menyediakan pelbagai peruntukan, iaitu hampir RM10 juta untuk menjaga kebajikan golongan tersebut di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) ini.
Selain itu, hampir RM22 juta peruntukan diberikan kerajaan negeri yang dibantu kerajaan Persekutuan menerusi JKM.
Katanya, hampir 150,000 orang dibantu pada tahun lalu hasil gabungan semua pihak termasuk MAINJ dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di bawah usaha kerajaan negeri.
“Usaha ini kita akan teruskan supaya tidak ada golongan tercicir. Kita nak pastikan bukan sahaja orang Melayu, malah juga kaum Cina, India, Orang Asli tiada yang miskin tegar tanpa kira agama.
“Kemiskinan tegar ini tidak kira kaum dan melibatkan semua lapisan masyarakat. Dalam kita mahu mengejar visi menjadi sebuah negeri yang maju, usaha dan gemblengan tenaga semua pihak diperlukan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Dengan bantuan pelbagai pihak termasuk sumbangan yang dihulurkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan kerabat Diraja Johor, saya yakin visi kita pastikan Johor sifar miskin tegar menjelang 2027 akan jadi satu kenyataan kalau semangat permuafakatan ini dapat diteruskan,” katanya. – UTUSAN