Rakyat perlu bijak berkomunikasi, elak isu perkauman

Rakyat perlu bijak berkomunikasi, elak isu perkauman

KOMUNIKASI beretika harus menjadi budaya yang dipupuk sejak awal supaya dapat mengelakkan isu perkauman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era digital yang mencorakkan gaya komunikasi moden, media sosial menjadi medan utama untuk rakyat menyuarakan pendapat, berkongsi maklumat dan berinteraksi tanpa batas.

Namun, dalam keterbukaan ini, muncul pula sisi gelap peningkatan penyebaran kenyataan berbaur perkauman yang semakin membimbangkan.

Walaupun banyak kandungan tersebut dipadam selepas menerima kecaman, namun impaknya terhadap perpaduan masyarakat amat besar dan berpanjangan.

Laporan badan pemantau internet tempatan mendedahkan peningkatan sebanyak 40 peratus dalam aduan berkaitan kandungan perkauman di media sosial sepanjang 2024.

Lebih merisaukan, banyak kenyataan ini dikongsikan oleh akaun palsu atau pengguna tanpa identiti sebenar, menjadikan pemantauan dan tindakan undang-undang lebih mencabar.

Menurut Pensyarah Kanan Komunikasi Massa, Dr. Noraini Ahmad, masyarakat perlu memahami perbezaan antara kebebasan bersuara dan ucapan kebencian.

“Kita harus bezakan antara hak untuk memberi pendapat dan tindakan yang mencetuskan kebencian kaum. Jika seseorang menghina kaum lain secara terbuka, itu bukan pendapat sebaliknya serangan terhadap keharmonian negara,” katanya.

Terdapat laporan mengenai pelajar sekolah yang menyebarkan semula kenyataan perkauman tanpa memahami kesannya.

Pihak berkuasa beberapa kali mengingatkan kenyataan berbaur perkauman boleh disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beberapa individu dipanggil untuk memberi keterangan susulan kenyataan mereka yang menimbulkan ketegangan antara kaum.

Dalam usaha membentuk masyarakat digital yang lebih matang, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil mengadakan bengkel kesedaran digital serta kempen seperti Berfikir Sebelum Klik, bertujuan mendidik rakyat supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membuat sebarang hantaran di media sosial.

Sementara itu, pakar sosiologi, Dr. Azlan Rahim, mencadangkan agar ruang dialog antara kaum diperkasa menerusi platform digital.

“Ramai rakyat Malaysia sebenarnya ingin hidup dalam suasana harmoni tetapi kurang ruang untuk berbincang secara terbuka. Jika media sosial dimanfaatkan untuk dialog antara kaum, ia boleh menjadi alat yang sangat kuat untuk menyatukan rakyat,” katanya.

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, komunikasi beretika harus menjadi budaya yang dipupuk sejak awal.

Kebebasan bersuara ialah hak semua, namun ia perlu disertai dengan tanggungjawab dan kepekaan terhadap sensitiviti masyarakat.-UTUSAN

MUHAMAD KHATIB NYAN & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×