JOHOR BAHRU: Individu yang didapati bersalah membuang sampah merata-rata di tempat umum termasuk di sungai negeri ini bakal berdepan hukuman lebih berat.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menyelaraskan penguatkuasaan melibatkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memperuntukkan kompaun sehingga RM500.
“Program Johor Bersih ini sudah dilancarkan sejak tahun lepas, namun pemikiran masyarakat masih belum capai tahap kita mahukan. Jadi setelah berbincang, kerajaan negeri bersetuju meningkatkan aspek penguatkuasaan.
“Kesemua 16 PBT di negeri ini, kita akan kuat kuasakan Akta 133 yang memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM500 kepada individu yang didapat bersalah membuang sampah.
“Kita perlu didik masyarakat agar tidak lagi buang sampah merata-rata kerana jika tidak, tiada makna usaha kita melakukan aktiviti gotong-royong,” katanya selepas menghadiri Program Johor Bersih Zon Tampoi di Taman Tampoi Utama, di sini hari ini.
Yamg turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.
Sementara itu, Mohd. Jafni memberitahu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor mengutip sejumlah 80 tan sampah domestik secara purata setiap bulan di Sungai Skudai, di sini.
“Bagi tujuan tersebut, JPS Johor membelanjakan RM20,000 setiap bulan. Namun perkara itu masih tidak mencukupi kerana sikap segelintir masyarakat yang masih membuang sampah-sarap ke dalam sungai.
“Kebanyakan sampah yang dibuang di sungai ini termasuk sampah domestik seperti botol plastik, kaca serta kelengkapan rumah seperti peti sejuk dan tilam,” katanya sambil memberitahu, penambahbaikan terhadap Akta 133 menyaksikan tiada lagi kadar kompaun berjumlah RM30 dan RM50 yang dikenakan sebelum ini. – UTUSAN