Harga minyak masak botol kekal bagi 8 Februari - 7 Mac ini - Utusan Malaysia

Harga minyak masak botol kekal bagi 8 Februari – 7 Mac ini

Harga minyak masak dalam botol kekal sehingga 7 Mac ini. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Harga minyak masak tulen  botol kekal bagi tempoh mulai 8 Februari 2023 hingga 7 Mac ini.

Kementerian Perdagangan Dalam  Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, harga runcit maksimum  ditetapkan RM6.90 bagi botol 1 kilogram (kg), RM13.30 (2 kg), RM19.60 (3 kg) dan RM30.90 (5 kg).

Menurutnya, harga itu dikekalkan walaupun secara umum, terdapat sedikit kenaikan harga minyak sawit mentah bagi Januari berbanding bulan sebelumnya.

“Bagaimanapun, berdasarkan  rundingan diadakan sebelum ini, kerajaan dan industri bersetuju untuk  mengekalkan harga minyak masak tulen kemasan botol bagi tempoh  mulai 8 Februari 2023 hingga 7 Mac ini.

“Harga itu dikekalkan selaras komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu membantu rakyat meringankan beban kos sara  hidup dan menangani isu kenaikan harga bagi mengelakkan kesan kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, antara komitmen itu termasuk menetapkan Harga Runcit Maksimum minyak masak sawit tulen  kemasan botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan  (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2023. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN