Hantar, jemput anak sekolah elak risiko kemalangan - Utusan Malaysia

Hantar, jemput anak sekolah elak risiko kemalangan

Antara pelajar sekolah dikesan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal semasa pulang dari sebuah sekolah di Kota Bharu semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kebanyakan ibu bapa di negeri ini memi­lih menghantar dan menjemput anak dari sekolah menggunakan kenderaan sendiri kerana yaki­n ia lebih selamat.

Pekerja swasta, Shahidah Ra­zali, 42, berkata, dia dan suami­nya bergilir-gilir menghantar serta menjemput anak dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 di sini, mengikut ja­dual kerja masing-masing.

“Kami lebih tenteram untuk hantar dan jemput anak-anak berbanding biarkan mereka naik bas atau van sekolah.

“Anak bongsu saya perem­puan berusia 10 tahun, memang saya risaukan keselamatannya jika naik bas sekolah. Jadi lebih baik kami suami isteri berkorban masa dan tenaga asalkan anak selesa dan selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Tinjauan SK Sultan Sulaiman 1 mendapati hampir 95 peratus pelajar di sekolah itu dihantar ibu bapa atau penjaga masing-masing ke sekolah.

Suri rumah, Nur Atirah Jamil, 40, berkata, selain mengambil dan menghantar dua anaknya ke sekolah, dia turut membantu jirannya menghantar dua anak jirannya itu ke sekolah.

“Ada masanya, suami jiran kerja di luar daerah, jadi saya akan membantu untuk menghantar dan menjemput anak-anak jiran kerana isteri jiran kami tiada kenderaan.
“Bagi saya, adalah lebih selamat untuk ibu bapa memandu ke sekolah demi memastikan keselamatan anak-anak,” katanya.

SANGGUP

Begitu juga di Kota Bharu, ibu bapa di negeri itu juga sanggup mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah sebagai usaha mengelakkan berlaku kemalangan membabitkan anak masing-masing.

Hazilawaty Abdullah, 58, ber­kata, setiap hari dia sanggup ber­buat demikian walaupun ber­depan dengan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.

“Saya tidak akan membenarkan anak pergi ke sekolah de­ngan motosikal kerana bimbang dengan keselamatannya kerana keadaan jalan raya terlalu sibuk.

“Oleh itu, saya sanggup menghantar dan menjemput anak ke sekolah,” katanya.

Mohammad Suhaimi Ibrahim, 57, berkata, lalu lintas di bandar Kota Bharu sangat sibuk ketika waktu pagi dan petang iaitu setiap kali pelajar datang dan balik sekolah terutamanya melibatkan jalan-jalan utama.

“Keadaan menjadi lebih teruk apabila ada sesetengah sekolah yang tidak menyediakan pengawal bagi menjaga keselamatan lalu lintas di kawasan berkenaan ketika waktu puncak.

“Sepatutnya, pihak sekolah perlu menyediakan kawalan yang teratur di sekolah bagi mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan,” kata beliau.

Tinjauan di beberapa buah sekolah di daerah ini mendapati, kebanyakan sekolah tiada pengawal trafik bagi membantu pelajar melintas jalan.

Selain itu pelajar yang me­nunggang motosikal ke sekolah pula didapat mengabaikan ke­selamatan diri dengan tidak memakai topi keledar.

Sementara itu, Aminah Abdullah dari Tumpat berkata, dia juga tidak akan membiarkan anaknya menaiki van atau bas sekolah untuk ke sekolah di pusat bandar.

Kata Aminah, semua tiga anaknya yang masih bersekolah di sekolah rendah dihantar dan dijemput setiap hari.

“Saya terpaksa luangkan masa untuk menjemput anak dari sekolah setiap hari bagi memastikan mereka selamat daripada apa-apa risiko,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN