PONTIAN: Hajat seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang menghidap penyakit jantung terbalik atau ‘mitral atresia’ untuk bersekolah masih tidak kesampaian.
Menurut bapanya, Abdul Rahmat Ahmad, 49, anaknya, Mohd. Adam Amsyar kini bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen selepas terjatuh di bilik air pada awal bulan lalu.
Selepas terjatuh, badannya berubah menjadi kebiru-biruan serta tercungap-cungap dan dengan bantuan jiran, Adam dibawa ke Hospital Pontian sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Adam ditahan selama dua minggu di HSI dan seminggu di Hospital Pontian sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada minggu lepas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Haji Ahmad, Sanglang di sini.
Abdul Rahman berkata, Adam kini memerlukan penjagaan rapi kerana tahap oksigen dalam badannya perlu dipantau setiap masa, selain bergantung dengan susu formula khas sebagai sumber makanan tambahan.
“Lepas pulang ke rumah, Adam memberitahu hendak ke sekolah, saya cuma minta dia bersabar dan beritahu akan usahakan,” katanya.
Adam memerlukan sebuah lagi mesin oksigen di sekolah sebab dia bergantung sepenuhnya dan pada masa ini hanya sebuah di rumah yang dipinjamkan oleh pertubuhan sukarela, Ihsan Johor.
Abdul Rahman berkata, untuk menyara keluarga, dia mengambil upah memotong rumput dan membantu peniaga ayam di pasar Benut.
“Anak sulung, Irin Nadiya, 13, yang akan memulakan sesi persekolahan baharu pada Mac ini masih belum membuat apa-apa persiapan, baju sekolah pun belum beli lagi.
“Saya harap dapat menggembirakan Irin sebab dia banyak bantu saya jaga Adam, tetapi pada masa sekarang perbelanjaan banyak ditumpukan untuk Adam.
“Saya bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menyalurkan bantuan asnaf RM250 sebulan, manakala Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga ada menyalurkan bantuan,” katanya sambil berharap ada pihak yang membantunya mendapatkan sebuah lagi mesin oksigen. – UTUSAN










