Empat lelaki termasuk dua remaja didakwa rogol kanak-kanak perempuan - Utusan Malaysia

Empat lelaki termasuk dua remaja didakwa rogol kanak-kanak perempuan

DUA tertuduh, Neo Jing Cong (dua dari kanan) dan Wong Chee Keong (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan pada bulan lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Empat lelaki termasuk dua remaja di bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun secara berkumpulan, bulan lalu.

Kesemua tertuduh itu ialah pembantu kedai pakaian terpakai, Neo Jing Cong, 23, penyelia tapak, Wong Chee Keong, 19, serta dua lagi tertuduh juvana masing-masing berusia 17 dan 14 tahun.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Jing Cong, Chee Keong dan seorang tertuduh berusia 17 tahun didakwa secara berkumpulan telah merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun 10 bulan.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 1.30 pagi, 24 Januari lalu di dalam bilik sebuah hotel di Bahau, Jempol.

Bagi pertuduhan kedua, dua tertuduh sama iaitu Chee Keong, tertuduh di bawah umur berusia 17 tahun serta seorang lagi tertuduh lain berusia 14 tahun didakwa secara berkumpulan merogol mangsa perempuan yang sama.

Namun,kesalahan itu dilakukan pada lokasi dan masa berlainan iaitu pada pukul 2 petang, 24 Januari lalu di dalam bilik sebuah hotel yang berbeza di Bahau, Jempol.

Sehubungan itu, mereka telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan maksimum 30 tahun. 

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh memandangkan kes adalah serius dan melibatkan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

“Jika jaminan ditawarkan, mohon mahkamah menetapkan jaminan yang tinggi,” katanya.

Peguam, Datuk P.M Nagarajan yang mewakili Jing Cong dan Chee Keong dalam rayuannya memohon jaminan yang minimum kerana kedua-dua tertuduh berpendapatan rendah.

“Jing Cong bekerja sebagai pembantu kedai ‘bundle’ dengan pendapatan RM1,200 serta ada ibu yang uzur manakala Chee Keong bekerja sebagai penyelia tapak berpendapatan RM1,500 sebulan,” katanya.

Sementara itu, tertuduh juvana berusia 17 tahun yang bekerja sebagai pengumpul besi buruk diwakili oleh peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat manakala tertuduh juvana berusia 14 tahun tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh dijamin RM7,000 seorang dan syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan keluarganya. Kes akan disebut semula 30 Mac depan untuk serahan dokumen.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya