KOTA KINABALU: Tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah yang keluar parti telah dijangka selepas mereka dipanggil oleh lembaga disiplin.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keempat-empat ADUN itu tidak termasuk Datuk Dr.Yusof Yacob telah diberi surat tunjuk sebab oleh lembaga disiplin dan mereka perlu membela diri esok.
Beliau berkata, Yusof belum lagi menjadi ahli UMNO, maka daripada lima ADUN yang keluar kelmarin, hanya empat ahli yang menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Empat ADUN yang dipanggil lembaga disiplin ialah Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut) dan Datuk
Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) yang sebelum ini menyatakan pendirian menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Perkara ini memang saya sudah duga sebab hakikatnya keempat-empat ADUN ini telah diberi surat tunjuk sebab dan perlu membela diri pada 24 Februari ini,” katanya ketika dihubungi.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, selaku Ketua UMNO Sabah, beliau telah menyatakan tidak mahu banyak ADUN sekiranya mereka tidak ada kesetiaan dan hanya mengejar jawatan demi kepentingan diri sendiri.
“Saya lebih rela mempunyai sedikit ADUN tetapi berintegriti dan setia dalam perjuangan.
“Jika dilihat James Ratib telah dicadangkan untuk dipecat kerana semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, ADUN Sugut ini didapati berkempen untuk calon Perikatan Nasional (PN) untuk mengalahkan calon Barisan Nasional (BN).
“Tindakan sebegitu merupakan satu kesalahan besar sebab mengkhianati parti,” katanya.
Kelmarin, semasa berbahas di Parlimen, beliau menyatakan budaya membeli ADUN dari parti lain harus dihentikan serta-merta.
Sementara itu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu), Andi Muhammad tidak menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Hajiji Noor.
Bagi Datuk Hamild @Hamid Awang pula, ADUN Balung itu hanya melompat keluar dari UMNO.
Susulan tindakan empat ADUN UMNO keluar parti semalam, kini, UMNO Sabah hanya mempunyai 12 kerusi. – UTUSAN










