PETALING JAYA: Pegawai kanan di Jabatan Peguam Negara (AGC) atau peguam berkelayakan perlu diutamakan untuk menduduki kerusi Peguam Negara berbanding mengambil hakim khususnya yang masih berkhidmat bagi mengelakkan kepentingan konflik demi menjamin kebebasan badan kehakiman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pegawai kanan AGC atau pengamal undang-undang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sesuai mengalas tugas Peguam Negara kerana mereka mempunyai penelitian mendalam untuk memberikan nasihat undang-undang kepada kerajaan di samping berpengalaman mengendalikan pertikaian antara dua pihak.
Katanya, tidak dinafikan hakim mempunyai pengetahuan tinggi undang-undang, namun pengalaman mereka sekadar membuat keputusan penghakiman berdasarkan fakta kes.
PERTIKAIAN
“Ada dua kumpulan berbeza dalam soal ini iaitu satu pihak menilai pertikaian manakala satu lagi membuat keputusan mengikut fakta. Sebagai Peguam Negara, beliau hendaklah seseorang berkemahiran memberikan nasihat kepada kerajaan khususnya membabitkan pertikaian antara dua pihak.
“Tidak salah melantik hakim atau bekas hakim sebagai Peguam Negara, malah dibenarkan di bawah Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan tetapi seelok-eloknya lantik dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara mahupun peguam senior,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan beberapa hakim yang sedang berkhidmat dikhabarkan akan dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu bagi mengantikan Tan Sri Idrus Harun apabila tempoh perkhidmatannya yang dijangka berakhir pada bulan depan.
Antara nama dipertimbang untuk menduduki kerusi Peguam Negara iaitu dua Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Yaacob Md. Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil serta hakim-hakim yang masih berkhidmat.
Pelantikan hakim sebagai Peguam Negara bukan satu perkara baharu kerana sebelum dilantik, Idrus masih berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan manakala Tan Sri Mohamad Apandi Ali pula bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.
PERANAN
Dalam pada itu, Mohamed Haniff menegaskan, Peguam Negara mempunyai peranan besar untuk menasihati kerajaan khususnya Kabinet berhubung isu-isu perundangan di samping menjadi rujukan utama membabitkan aspek pertikaian undang-undang antarabangsa.
Justeru, katanya, bagi memastikan wujud kebebasan badan kehakiman dan Jabatan Peguam Negara, seelok-eloknya pelantikan perlu seimbang bagi menjamin integriti badan perundangan.
Jelasnya, lazim sebelum ini, Peguam Negara dilantik dalam dalam kalangan pegawai Jabatan Negara, namun keadaan telah berubah sejak Mohamad Apandi kemudian diikuti Tan Sri Tommy Thomas yang sebelum ini merupakan seorang peguam.
“Bagi memastikan wujud pengasingan antara Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman, kedudukan Peguam Negara perlu diutamakan bukan dalam kalangan hakim masih berkhidmat dan bekas hakim iaitu membabitkan hanya peguam senior atau pegawai kanan Jabatan Peguam Negara.
“Meskipun ada rancangan memisahkan tugas pendakwaan daripada Peguam Negara, namun ia masih di peringkat perancangan. Buat masa ini, Peguam Negara masih mengendalikan pendakwaan,” katanya. – UTUSAN










