Dua lelaki 'lalok' nekad larikan diri takut ditahan - Utusan Malaysia

Dua lelaki ‘lalok’ nekad larikan diri takut ditahan

TANGKAP layar rakaman video yang tular menunjukkan dua lelaki melarikan diri daripada polis kerana takut ditahan di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua lelaki yang sedang khayal nekad melarikan diri dengan memecut kereta Volkswagen Jetta kerana takut ditahan selepas diarahkan polis untuk berhenti di Jalan Datin Halimah, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, anggota polis segera mengejar suspek ketika membuat rondaan cegah jenayah di lokasi berkenaan, kira-kira pukul 6 petang.

“Ketika itu anggota terbabit melihat sebuah kereta jenis Volkswagen Jetta dalam keadaan mencurigakan dan semasa mengarahkan kereta itu berhenti bagi tujuan pemeriksaan, suspek terus memecut dan melarikan diri. 

“Anggota terbabit meminta bantuan bilik gerakan IPD JBS dan tiga kereta peronda MPV yang sedang bertugas membantu menahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Raub berkata, anggotanya mengejar suspek sehingga ke tempat letak kereta sebuah apartmen di Taman Damansara Alif, di sini.

“Seorang suspek lelaki tempatan berusia 28 tahun berjaya ditangkap, manakala rakannya yang turut menaiki kereta itu, lelaki tempatan berusia 20 tahun masih gagal dikesan setelah melarikan diri.

“Polis turut merampas sebilah parang, tukul, batang besi, batang kayu, topi keledar dan kereta Volkswagen Jetta berserta kunci kenderaan.

“Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek melarikan diri kerana berada di bawah pengaruh dadah dan takut ditangkap polis. Semakan rekod lampau mendapati suspek terbabit dalam satu kes jenayah dan satu kes dadah serta ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah methaphetamine,” jelasnya.

Suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini dan  sedang mengesan rakan suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Hakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan kejadian tiga buah kereta peronda polis ‘MPV) mengejar sebuah kereta di kawasan Taman Damansara Alif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.