Dikompaun RM25,600 atas pelbagai kesalahan rokok - Utusan Malaysia

Dikompaun RM25,600 atas pelbagai kesalahan rokok

BEBERAPA pegawai kesihatan merampas rokok di sebuah kedai runcit dalam operasi rokok di Kangkar Pulai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan negeri ini mengeluarkan kompaun berjumlah RM25,600 atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) dalam operasi di beberapa lokasi, petang semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak 109 buah premis perniagaan telah diperiksa.

Sebanyak 70 notis dikeluarkan dengan 21 notis daripadanya melibatkan kesalahan merokok di premis makanan membabitkan kompaun berjumlah RM5,250.

“Sembilan notis pula dikeluarkan atas kesalahan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa rokok di bawah harga minimum dengan nilai kompaun keseluruhan RM4,500.

“Satu notis pula dikeluarkan atas kesalahan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa hasil tembakau dengan harga jualan runcit yang tidak diluluskan oleh Pengarah Kesihatan negeri dengan kompaun berjumlah RM500,” katanya, di sini.

Dr. Aman memberitahu, dalam operasi tersebut sebanyak 2,134 peket rokok pelbagai jenama bernilai RM14,573 turut dirampas.

“Operasi yang dijalankan semalam merupakan kesinambungan operasi bersepadu yang dijalankan dari semasa ke semasa bertujuan untuk memastikan undang-undang dipatuhi semua pihak,’ katanya sambil memberitahu operasi tersebut turut disertai  pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 9,135 notis kesalahan dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri dengan jumlah kompaun terkumpul RM2.28 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 7,304 notis membabitkan kesalahan merokok di kawasan larangan dan 744 notis kesalahan merokok kepada golongan bawah umur, manakala 405 notis atas kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis dan 182 notis kesalahan kerana menjual rokok di bawah harga minimum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya