MELAKA: Peniaga ayam di Pasar Besar Melaka di sini berusaha sehabis boleh mengekalkan kadar caj pemotongan ayam 70 sen seekor, selagi pihak pemborong dan penternak tidak menaikkan caj penghantaran atau berlaku kenaikan harga bahan mentah itu.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, peniaga, Hamzah Othman, 58, berkata, apa yang dibimbangkan jika kenaikan tersebut berlaku sewaktu Ramadan dan pada sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Katanya, caj perkhidmatan yang dikenakan kepada pelanggan tidak menyalahi peraturan selagi masih mengikuti harga siling ayam ditetapkan kerajaan ketika ini iaitu RM9.40 sekilogram.
Menurutnya, caj tersebut murah jika dibandingkan dengan tahun lalu mencecah sehingga RM1.30 berikutan kenaikan harga ayam dan caj penghantaran.
“Untuk mansuhkan caj memotong ayam rasanya tidak mungkin disebabkan pemborong masih mengenakan caj penghantaran.
“Caj ini ada turun naiknya kerana bergantung kepada penternak dan pemborong. Jika berlaku kenaikan harga ayam dan perkhidmatan penghantaran ada kemungkinan caj terpaksa dinaikkan. Kami kalau boleh tidak mahu kenakan caj ini jika harga ayam sudah stabil,” katanya.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, cadangan dikemukakan pelbagai pihak berhubung keperluan penubuhan lembaga unggas bagi menstabilkan harga ayam dan telur sedang berada dalam perhatian kerajaan.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Ghazali Abu Bakar, 48, berkata, caj pemotongan ayam terpaksa dikenakan sebagai alternatif menampung kos pengeluaran besar ketika ini.
Menurutnya, ramai peniaga akan kerugian jika tidak berbuat demikian kerana pihak penternak dan pemborong masih mengenakan caj perkhidmatan dan penghantaran.
“Bagi saya caj yang dikenakan sebanyak 70 sen memadai dan tidak membebankan pengguna.
“Kita terpaksa buat, kalau tidak kami akan rugi dan tidak balik modal langsung. Saya harap pengguna lebih faham situasi yang kami hadapi ketika ini,” katanya.- UTUSAN










