SHAH ALAM: ‘Pembersihan’ lantikan politik termasuk pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) perlu dilakukan secara menyeluruh dan bukannya melibatkan universiti tertentu sahaja.
Tindakan sedemikian wajar diambil sekiranya kerajaan tidak memandang kelayakan mereka untuk berada dalam kumpulan pemikir universiti dan memegang jawatan di peringkat lembaga pengarah.
Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nik Rosli Mahmud berkata, penyingkiran lantikan politik yang dilakukan dalam UiTM di peringkat LPU ketika ini menyebabkan universiti itu kehilangan pemimpin yang pakar dalam bidang akademik dan pengurusan institusi.
“Orang politik yang tak ada pengalaman memang tak patutlah. Tetapi orang politik yang ada pengalaman atau kelayakan, hanya kerana dia orang politik, boleh dilantik. Kerajaan sudah buat pengumuman tak mahu orang politik.
“Bukan setakat itu tetapi yang tidak mempunyai pengalaman atau kepakaran yang bukan bidang mereka. Contohnya, ambil orang politik yang seumur hidupnya tak pernah bekerja, tiba-tiba ambil dia jadi pengerusi institusi pengajian tinggi awam (IPTA), memang tak patutlah,” katanya ketika dihubungi.
Utusan Malaysia semalam melaporkan pejabat Pengerusi LPU UiTM mengesahkan Prof. Emeritus Dr. Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah menerima notis penamatan perkhidmatan pada 10 Januari lalu dan diberi tempoh 30 hari sehingga 10 Februari ini untuk mengosongkan pejabat.
Selain beliau, turut menerima notis sama adalah anggota LPU UiTM, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim yang berkuat kuasa semalam serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Datin Norashekin Yusof.
Pertukaran tersebut menyebabkan LPU UiTM kini digantung daripada bersidang sehingga pelantikan pengerusi baharu dibuat.
Dalam pada itu, Nik Rosli yang aktif menerusi Alumni Pengajian Insurans serta Business Network melahirkan rasa kesal apabila Ibrahim Shah ditamatkan perkhidmatan dan menyifatkan bekas Ahli Dewan Negara itu sebagai individu yang layak memimpin UiTM. – UTUSAN










