Selepas 26 tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kembali membentangkan belanjawan negara, yang juga merupakan medan ujian kedua untuk membuktikan kemampuan menggalas tugas setelah berjaya dalam Usul Undi Percaya Perdana Menteri pada 19 Disember tahun lalu.
Secara kebetulan, hari ini cukup tiga bulan Anwar mengalas tugas sebagai Perdana Menteri setelah mengangkat sumpah pada 24 November 2022 daripada hasil pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan sokongan 148 ahli Parlimen Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah serta parti lain.
Pembangkang sejak kebelakangan ini sering kali mempersoalkan kemampuan Kabinet Anwar dalam menyelesaikan isu-isu dihadapi rakyat di saat hutang negara sudah mencecah hampir RM1.2 trilion.
JANJI
Bagi mereka, kerajaan perpaduan hanya pandai menabur kata-kata manis tetapi gagal mengotakan janji manifesto pilihan raya umum (PRU) lalu.
Justeru, mata dan telinga rakyat Malaysia hari ini tertumpu kepada ucapan Anwar yang membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Kali terakhir beliau berbuat demikian ketika pembentangan Belanjawan 1998 iaitu pada 17 Oktober 1997 sebelum disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998.
Namun jika diteliti kembali kedudukan ekonomi negara antara 1998 dan 2023, kedua-duanya dilihat mempunyai persamaan apabila Malaysia berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi dan turun naik mata wang Ringgit berbanding nilai Dolar Amerika Syarikat.
Perbezaan dengan 26 tahun lalu ialah pada waktu itu kadar hutang negara hanya RM10.4 bilion dan sekarang sudah mencecah RM1.2 trilion.
MEKANISME
Namun, cabaran Belanjawan 1998 dan 2023 masih sama iaitu kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik bagi mengukuhkan kembali ekonomi negara di samping mengukuhkan kembali nilai mata wang yang tidak menentu.
Sekali pun dilanda krisis kewangan, Anwar berjaya mengemudi Malaysia pada ketika itu dan masih mampu memperoleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lapan peratus berbanding jangkaan KDNK tahun ini yang cuma berjumlah empat ke lima peratus.
Yang bezanya, ketika itu kerajaan amat stabil apabila pembangkang tidak kuat seperti hari ini yang memiliki 74 ahli Parlimen.
Justeru itu, rakyat hari ini tertumpu ucapan belanjawan Anwar sebelum ini yang banyak kali menegaskan kerajaan ‘Malaysia Madani’ komited memastikan bantuan tunai langsung terus disalurkan kepada golongan sasar dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
Jika Anwar berjaya ujian kali ini, beliau dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk meneruskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-16. – UTUSAN










