Apa nasib 100,000 graduan? - Utusan Malaysia

Apa nasib 100,000 graduan?

universiti
UTHM mengumumkan enam kursus pengajiannya ditamatkan tempoh pengajian kepada tiga tahun. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 100,000 mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di lebih 20 buah institut pengajian tinggi (IPT) hujung minggu ini khuatir dengan peluang mereka untuk memasuki pasaran kerja yang dilihat samar-samar.

Ini mengambil kira unjuran penganalisis ekonomi menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)

Malaysia tahun ini cuma sekitar empat hingga 4.5 peratus kerana faktor global dan kesan pasca pandemik Covid-19 yang belum pulih berbanding KDNK 8.7 pera­tus tahun lepas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, kebolehpasaran graduan isu besar apabila saingan mendapat kerja sengit terutamanya bidang tertentu yang dipilih ramai pelajar.

Menurut beliau, sejak pasca pandemik dengan Malaysia turut dipengaruhi faktor glo­bal, kebolehpasaran graduan semakin mengecil dan tidak pelik jika mereka hanya bekerja sebagai jurujual.

“Kalau dilihat kepada pelan pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), peluang pekerjaan yang disediakan kepada graduan masih kurang dan ini memberi tekanan kepada graduan untuk meneruskan kehidupan selepas menamatkan pengajian,” kata beliau.

LULUSAN

Kata beliau, masih ramai le­pasan universiti dua atau tiga tahun lepas yang belum mendapat kerja setanding de­ngan lulusan mereka.

Wan Amsyar mengulas kebimbangan peluang pekerjaan dalam kalangan graduan yang akan menamatkan pengajian tidak lama lagi.

Minggu ini, minggu terakhir mahasiswa semester akhir di semua IPT menjalani peperiksaan dan selepas itu mereka mula mencari pekerjaan.

Menurut beliau, MPPK pernah mencadangkan kepada KPT agar kerajaan memperbanyakkan program seperti Program Kerja Jangka Pendek (MySTEP) atau program pemerkasaan kepada graduan yang baru tamat IPT untuk terus diserap ke mana-mana industri.

Katanya, ia bagi membolehkan mereka mempunyai peluang pekerjaan dan dapat mempersiapkan diri mendapat sijil pengiktirafan atau pengalaman bekerja sebelum masuk ke industri sebenar.

“Ini kerana mahasiswa lepas habis belajar memang semua­nya akan cari pekerjaan mengikut bidang mereka, (kalau) ada pelajar yang tak dapat bekerja dalam jurusan masing-masing, mungkin akan menyebabkan sedikit kerugian berdasarkan apa yang mereka belajar,” katanya yang juga Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM).

GRADUAN

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pertubuhan Ikram Malaysia, Prof. Dr. Omar Yaakob berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sesetengah graduan itu mungkin lambat mendapat kerja sehingga perlu menunggu hampir setahun, dalam suasana ekonomi sedang pulih.

Oleh itu, menurut beliau, graduan perlu proaktif menambah kemahiran lain yang boleh memberi nilai tambah kepada diri masing-masing dan bukan hanya bergantung kepada ijazah semata-mata.

Meskipun KPT menetapkan universiti awam membuat kursus tambahan sebelum pelajar bergraduasi, namun katanya, yang lebih penting pelajar tidak terlalu memilih pekerjaan.

“Kalau dulu mungkin kerja cari kita dengan ijazah yang kita peroleh, tetapi sekarang kita perlu ada lebih daripada sijil ijazah itu. Jadi graduan boleh berusaha mendapatkan sijil kemahiran yang boleh menambah nilai pada mereka.

GAJI

“Masalah sekarang apabila ada graduan terlalu memilih kerja, jika ditawarkan gaji yang rendah, sebahagian mungkin menolak dan memilih untuk terus menanti tawaran yang lebih baik, padahal pengalaman di tempat kerja akan mematangkan mereka dan menyumbang kepada resume yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, lepasan universiti juga perlu memberi tumpuan lebih kepada kemahiran komunikasi dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi masa kini.

Katanya, ini kerana banyak keluhan di pihak industri yang mengharapkan kemahiran komunikasi pelajar terutamanya dalam Bahasa Inggeris perlu ditambah baik.

“Mungkin apa yang mereka belajar masih tidak cukup dan kalau rasa tak yakin, maka kena usahakan tambah kemahiran komunikasi itu.

“Kedua, pelajar perlu me­nyesuaikan menyesuaikan di­ri dengan teknologi terkini terutamanya berkaitan bidang yang mereka mahu ceburi sama ada kemahiran digital, co­ding, perisian khusus berkaitan bidang, atau meningkatkan kemahiran perisian asas seperti Microsoft Office,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN