Tukang masak maut kemalangan dengan lori - Utusan Malaysia

Tukang masak maut kemalangan dengan lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang tukang masak sebuah restoran di Kuala Lumpur maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di simpang tiga berhampiran Pejabat Felda Jelai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Mohamad Hanafi Abdul Ghani, 40, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Jelai bagi rawatan lanjut namun meninggal semasa mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab, kemalangan membabitkan motosikal yang ditunggangi mangsa jenis Honda RS dan sebuah lori yang masih dikesan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan mahu balik ke rumahnya di Felda Jelai 4 setelah selesai majlis perjumpaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelai (Felda). Apabila sampai di simpang tiga mangsa telah bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan, mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Jelai untuk menerima rawatan. Pada pukul 4.40 petang, polis telah menerima maklumat daripada klinik menyatakan mangsa telah meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Anuwal lagi, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. 

Menurutnya, pemandu lori masih dikesan dan belum membuat laporan berkaitan kemalangan tersebut.

Sehubungan itu, sekiranya orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan jalan raya berkenaan diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik IPD Tampin di talian 06-4412502 atau 06-4431999 Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin bagi membantu siasatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya