PETALING JAYA: Konsep bersederhana dalam berbelanja perlu diterapkan dalam kehidupan harian rakyat.
Umat Islam diingatkan untuk menerapkan konsep sederhana ketika berbelanja sebagai persediaan menghadapi kenaikan harga barang sehingga 10 peratus tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Daud Awang berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya pembaziran di saat kita berdepan kenaikan harga barang.
Menurut beliau, konsep kesederhanaan itu perlu diterap, diamal dan dibudayakan dalam kehidupan umat Islam untuk berjimat cermat dalam berbelanja.
“Pandangan saya dengan kenaikan harga barang ini terutamanya bagi orang Islam adalah kita kena ambil konsep bersederhana ketika berbelanja.
“Umat Islam hari ini perlu mengubah gaya hidup dengan menurunkan sedikit perbelanjaan di samping berjimat cermat mengikut konsep sederhana bagi memastikan kita berlaku adil kepada diri sendiri,” katanya.
Tambah beliau, umat Islam juga perlu merancang perbelanjaan dan pembelian berdasarkan konsep dharuriyat dan hajiyat dalam mengekang pembaziran.
“Kita harus membeli kepada perkara-perkara yang dharuriyat di mana kita mesti merancang berbelanja berdasarkan konsep ini dan dalam hajiyat pula kena lihat hajiyat macam mana kita peruntukkan untuk berbelanja,” katanya.
Mohd. Daud turut menasihati umat Islam merancang pembelian dan menjauhi pembaziran.
Katanya, rakyat perlu tahu membezakan antara keperluan dan kemahuan di samping mengubah gaya hidup ke arah kesederhanaan dalam tempoh getir.
“Konsep sederhana juga bagus diamalkan tetapi dalam Islam juga tidak menghalang kita untuk menikmati kehidupan dengan cara ekslusif tetapi biarlah dengan cara yang kita mampu.
“Dalam Islam juga kalau kita tengok bukan kita tidak boleh hendak bersuka ria, tapi tunggu nanti bila ekonomi sudah baik baik kita boleh bersuka ria kembali,” katanya.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan harga barang dan makanan bakal melonjak sehingga 10 peratus tahun ini berdasarkan kepada unjuran kadar inflasi yang dijangka meningkat enam hingga tujuh peratus.- UTUSAN










