Stadium baharu diharap tidak padam sejarah Selangor FC

Stadium baharu diharap tidak padam sejarah Selangor FC

ORANG ramai berpeluang menyaksikan rekaan Stadium Shah Alam baharu yang dipamerkan kepada umum selama 16 hari sehingga 10 Februari ini di SACC Mall di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Peminat Selangor FC mengharapkan nilai sejarah pasukan bola sepak kesaya­ngan mereka tidak dipadam atau tenggelam dengan pembinaan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dijadualkan bermula pada tahun ini.

Malah, ada juga mengharap­kan supaya struktur asal de­ngan kapasiti 80,300 penonton dikekalkan berbanding stadium baharu yang hanya dapat memuatkan sehingga 45,000 penonton dalam satu-satu masa.

Seorang peminat pasukan Red Giant, Norizah Zakaria, 47 dari Rawang berkata, dia me­ngagumi seni bina stadium baharu yang disifatkannya sebagai futuristik, namun bimbang nilai sejarah Selangor FC akan lenyap.

KEKALKAN

“Secara peribadi saya tengok sangat bagus untuk Selangor FC, lengkap semua ada dan sangat futuristik. Tetapi, saya rasa lebih elok kekalkan bentuk asal, tambah struktur lain. Kalau roboh semua, hilang terus nilai sejarah stadium dan rumah pasukan Selangor FC,” katanya ditemui pada pameran Kompleks Sukan Shah Alam baharu, semalam.

Sementara itu, seorang lagi peminat, Haflizah Bahari, 35, dari Banting, memberitahu pembinaan stadium baharu perlu berupaya mengembalikan ke­gemilangan Selangor FC seperti tahun 1990-an dan awal 2000.

“Bila ada usaha untuk kembalikan stadium itu adalah satu kebanggaan untuk peminat. Pa­ling penting kita hendak rasa stadium kita sendiri.

“Memang rindu dengan Stadium Shah Alam, dalam empat hingga lima tahun kebelakangan ini memang saya sokong penuh Selangor FC sama ada ketika menjadi tuan rumah atau pun di padang lawan tak kira pemain yang keluar masuk,” ujarnya.

Bagi, Ahmad Safwan Anas Bin Ahmad Padzir, 30, dari Klang pula berharap stadium baharu tidak menyebabkan Selangor FC kehilangan ramai peminat berikutan kapasitinya yang semakin kecil terutama ketika pasukan negeri ini berdepan perlawanan peringkat akhir.

“Saya rasa, mereka sepatutnya yang baru perlu sama besar daripada yang lama. Sebab kalau besar boleh menampung kapasiti peminat yang datang lebih ramai. Selangor FC ada ramai penyokong,” tuturnya.

Sementara itu, pihak Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) ketika ditemui Mingguan Malaysia memaklumkan, pembinaan stadium yang baharu mengambil kira pengurusan dan operasi pada masa sekurang-kurangnya 30 tahun akan datang.

Pembinaan tersebut terma­suklah memastikan struktur bangunan bersesuaian de­ngan perkembangan kemudahan tek­nologi pada masa kini dan hadapan termasuklah keupayaan integrasi Internet of Thing.

Menurut mereka, pembina­an KSSA baharu meletakkan tiga elemen yang menjadi asas­nya iaitu kesukanan, belia dan masyarakat yang menggabungkan kesemua kemudahan dalam satu kawasan.

Tambahnya, pembinaan semula KSSA merupakan naik taraf berskala global apabila kemudahannya boleh digunakan untuk peringkat antarabangsa,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×