KUALA LUMPUR: UMNO digesa menyingkirkan saki baki pengkhianat parti yang menjadi punca kepada kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan, tindakan itu perlu diambil kerana kelompok itu berisiko menimbulkan lebih banyak perpecahan parti di masa akan datang.
Menurut beliau, parti perlu bersatu padu tidak kira dalam keadaan susah atau senang, kalah atau menang.
“Realitinya 2018 kita kalah kerana fitnah dan 2022 kita kalah kerana berpecah. Sedarlah, ini adalah ulangan kepada ibrah peperangan yang asalnya kita menang tapi kerana kita culas mentaati perintah pemimpin.
“Taati perintah pemimpin tatkala susah mahupun senang, mempertahankan pemimpin sama ada yang kita suka ataupun dibenci. Pemuda UMNO tidak pernah berganjak dengan pendirian untuk terus mempertahankan institusi kepimpinan parti without fear or favor.
“Pemuda UMNO tidak boleh bersikap hipokrit melambung pemimpin tatkala menang tapi memijak lumat pemimpin tatkala jatuh kecundang. Justeru, Pemuda UMNO mendesak agar saki baki pengkianat parti yang selama ini menjadi api dalam sekam gunting dalam lipatan, mengutamakan diri dari parti agar disingkirkan terus daripada menjadi barah yang merosakkan seluruh organ dan jasad parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO di ibu negara hari ini.
GUNTING
Pada masa sama, katanya, masih wujud api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut berada dalam parti sehingga ke hari ini.
“Mereka berkempen dalam PRU15 dengan cara mengutuk parti dan presidennya sendiri. Tak pernah terbayang dek akal kita bagaimana pemimpin sudah berpuluh-puluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli parti tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak lagi menjadi calon.
“Sesetengah calon pula memilih menjadi hero dengan mencerca parti sendiri. Dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk memulihkan UMNO yang sesat, rosak dan korup seolah-olah dia lah satu-satunya paling suci, paling sempurna dan paling hebat segala-galanya.
“Apa hodoh sangatkah UMNO yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali jadi menteri. Apa busuk sangatkah kepimpinan kalau mereka berulang-ulang kali khianat masih diberi tempat oleh parti,” katanya.
Justeru, katanya, jika golongan itu terus wujud dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), ia dikhuatiri menjejaskan lagi kedudukan parti di masa akan datang.
“Bagaimana rakyat nak percaya UMNO dan BN mampu memimpin negara. Bagaimana rakyat nak yakin bahawa kita boleh bawa kestabilan jika pemimpin atasan hanya sibuk bercakaran. Bagaimana rakyat nak mengundi BN jika kita sendiri berpecah belah, saling kata mengata kluster itu..kluster ini,” katanya.- UTUSAN