Selangor FC sasar layak Piala AFC

Selangor FC sasar layak Piala AFC

TAN CHENG HOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sasaran meraih slot kelayakan Piala AFC akan menjadi keutamaan Selangor FC pada musim 2023 meskipun untuk membincangkan perkara itu masih terlalu awal.

Mengakui musim baharu nanti merupakan cabaran besar menggalas harapan tinggi para peminat kelab gergasi merah, namun pengendalinya Tan Cheng Hoe optimis dengan sasaran itu setelah Selangor menerima kembali khidmat Ramon Marcote yang akan bertindak selaku pembantu jurulatih.

Tegas pengendali berusia 51 tahun itu, harapannya masih sama seperti dahulu, iaitu mahu melihat Selangor sebagai skuad paling hebat memberi saingan kepada mana-mana pasukan lain dalam Liga Malaysia.

“Memang sasaran utama adalah merebut slot dalam AFC. Sudah tentu, terlalu awal untuk kita memberi sasaran terbaik tetapi yang pasti kita mahu melihat permainan meningkat pada setiap perlawanan. Macam saya sebut sebelum ini, saya juga konsisten untuk melihat profesional pasukan.

“Untuk tahun 2023, memang satu cabaran besar buat Selangor FC Sebab kita tahu jangkaan tinggi dan harapan para peminat untuk melihat kejayaan pasukan. Sudah tentu di barisan kejurulatihan, saya bersama pembantu, Ramon Marcote, saya rasa kita mampu beri saingan yang cukup baik.

“Bagi saya, yang paling penting adalah kita nak lihat pasukan ini meningkat seperti yang selalu saya sebutkan, latihan setiap hari dan dalam perlawanan pun kita nak bentuk pasukan yang mantap. Kita bukan nak cabar sesiapa, kita cabar diri sendiri sebagai pasukan yang beri saingan paling hebat dalam Liga Malaysia,” katanya selepas Majlis Kolaborasi Strategik Bersama antara Selangor FC dan Daikin Malaysia, di Damansara, semalam.

Turut hadir pada majlis tandatangan kerjasama itu itu ialah Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharifuddin Idris Shah, Shoffi Ando, Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia Sdn. Bhd. dan Katsuhiko Takahashi, Duta Jepun ke Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan skuad, Cheng Hoe berkata buat masa ini pihaknya masih menunggu senarai nama penuh pemain sehingga lengkap 100 peratus sebelum mengumumkan barisan pemain yang akan beraksi untuk Selangor FC.

Bagaimanapun, skuad gergasi merah masih mengekalkan semua pemain import mereka iaitu Yazan Al-Arab, Richmond Tetteh Ankrah, Alex Agyarkwa dan Hein Htet Aung di samping sedang mencari seorang lagi pemain import baharu sebelum liga bermula pada 24 Februari depan.

“Kita juga sudah bawa 3 pemain tempatan, Faisal Halim, Khuzaimi Piee dan V. Ruventhiran. Utk pemain import baru, kita masih mencari lagi dan kita harap dalam masa terdekat akan ada yang mampu mengisi kekosongan tersebut kerana kita tahu masa agak suntuk untuk membina pasukan kerana kita Liga akan bermula pada penghujung Februari nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.