Sedekah atau rasuah?

Sedekah atau rasuah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang pemberian kepada pengundi sebelum atau semasa pilihan raya se­kali pun mempunyai niat se­dekah merupakan satu kesalahan sogokan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sekalipun tidak dilakukan ca­lon tetapi pihak luar, namun masih disifatkan sogokan kerana berniat menarik pengundi semasa tempoh rasmi berkempen.

Walaupun ada yang membe­rikan alasan pemberian sebagai ‘se­dekah’ dan ‘bantuan’ tetapi bayaran kepada pengundi dalam tempoh itu atas na­ma calon atau bagi pihaknya dianggap supaya mengundi individu ber­kenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 secara terperinci menjelaskan apa-apa pemberian wang kepada pengundi adalah perbuatan membeli undi dan ia adalah rasuah pilihan raya.

“Motif dan niatnya jelas. ­Apatah lagi jika diminta pengundi bersumpah atau sebagainya dan jika teliti semula Akta Kesa­lahan Pilihan Raya 1954 yang menyatakan seseorang disifatkan bersalah menyogok apabila sebelum atau semasa sesuatu pilihan raya dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa wang atau balasan bernilai kepada mana-mana pengundi.

“Terdapat dua konteks dalam undang-undang ini iaitu menyatakan apa-apa pemberian dalam waktu pilihan raya adalah satu sogokan dan dilakukan oleh calon atau wakil mahupun pihak lain,” katanya di sini, semalam.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah sedekah.

Ahli Parlimen Marang itu mengulas perkara itu sebagai reaksinya terhadap tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas.

Menurut Wan Ahmad, dakwaan sogokan wang kepada pengundi oleh Pas dalam PRU15 agak menarik kerana Abdul Hadi dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin secara tidak rasmi telah mengaku pemberian itu namun kedua-dua cuma memberikan alasan sebagai sedekah.

“Apa pun takrifan alasan mereka ialah sogokan wang itu sebagai ‘sedekah’ dan ‘bantuan’, soal pokoknya ialah apa-apa pemberian kepada pengundi jika dibuat dalam tempoh rasmi kempen pilihan raya.

“Jika terbukti berlaku penyogokan atau rasuah dan calon terbukti bersalah, mahkamah berkuasa membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan berkenaan untuk diadakan pilihan raya semula,” katanya.

Pada masa sama, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, semua pihak perlu menghentikan mengeluarkan sebarang istilah tertentu yang dibuat demi kepentingan dan agenda politik tertentu kerana tindakan itu akhirnya boleh menjejaskan imej agama Islam.

“Janganlah mempergunakan agama dan politik untuk memecah-belahkan umat Islam dan rakyat. Dalam soal ini tidak kira UMNO mahupun Pas, kita perlu bersama-sama ke hadapan untuk membangunkan tanah air.

“Malah jika kita balas dengan pelbagai sindiran antara satu sama lain, maka perkara ini tidak selesaikan. Jadi hentikannya dan fokus kembali bangunkan tanah air,” katanya.

Sementara itu, Pas menegaskan tidak pernah mengamalkan politik wang atau rasuah namun tidak menghalang jika ada individu atau orang awam memberi sumbangan atas niat sedekah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, sedekah dan rasuah adalah dua perkara berbeza dengan bergantung kepada nawaitu seseorang pemberi itu.

Katanya, jika memberi duit pada seseorang untuk tujuan menarik undi ia adalah salah namun sekiranya seseorang itu ikhlas memberi sedekah dengan tidak mengharapkan apa-apa balasan, itu tidak menjadi kesalahan sebaliknya menerima pahala.

“Sedekah itu benda dalaman, keikhlasan dengan niat untuk bersedekah dan dapat pahala. Ia berbeza dengan rasuah dengan perbezaan itu terletak kepada niat seseorang itu.

“Sebagai contoh memberi RM10 atas tujuan rasuah itu adalah salah dan berdosa namun jika beri 50 sen sekali pun atas niat sedekah ia memberi pahala. Allah SWT tahu semua,” katanya.

Jelas beliau, isu pemberian wang tunai dalam bentuk sumbangan politik bukan perkara baru, malah UMNO didakwa sudah berpuluh tahun mengamalkan pemberian sumbangan sewaktu kempen pilihan raya berlangsung.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, dari segi peraturan sedia ada, calon dan wakil calon tidak boleh memberi sebarang sumbangan dalam waktu tempoh kempen pilihan raya.

Namun soalnya, dalam konteks sumbangan yang disalurkan oleh penyokong parti kepada pengundi, siapakah yang boleh menyekat sumbangan sebegitu daripada disalurkan?

Malah katanya, di pihak UMNO sendiri sudah menjadi kebiasaan menyalurkan sumbangan politik kepada pengundi bukan saja dalam bentuk wang ringgit, malah juga geran tanah, pemberian bot dan sebagainya.

“Perkara ini sebenarnya jika dilihat, bukan benda baru, sudah lama dibuat pihak UMNO selama berpuluh tahun. Bahkan bagi duit kepada pengundi.

“Dari segi peraturan yang ada, semua orang faham bahawa calon dan wakil calon tidak boleh memberi sebarang sumbangan dalam waktu tempoh kempen pilihan raya. Peraturannya begitu.

“Manakala orang lain, apa yang kita mahu sekat orang lain mahu beri sumbangan? Semua parti kadang-kadang adalah dia bagi. Tapi itu tidak bertentangan dengan peraturan pilihan raya. Malah, dalam Pas sendiri pun kita tidak tahu siapa yang mahu bagi (sumbangan),” katanya sewaktu dihubungi, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN