PRN: PKR mula proses kenal pasti, muktamad calon bertanding dua minggu lagi - Utusan Malaysia

PRN: PKR mula proses kenal pasti, muktamad calon bertanding dua minggu lagi

RAFIZI Ramli (baris depan, lima dari kanan) dan Aminuddin (empat dari kanan) bergambar bersama pimpinan dan ahli PKR Negeri Sembilan yang hadir pada Konvensyen Pilihan Raya Negeri 2023 PKR Negeri Sembilan di Seremban, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: PKR akan memulakan proses mengenal pasti dan memuktamadkan calon-calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri dalam tempoh dua minggu lagi.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli malah turut tidak menolak untuk PKR mengumumkan calon mereka lebih awal bagi bertanding di PRN termasuk di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun beliau menambah, keputusan tersebut juga akan mengambil kira rundingan kerjasama yang akan turut dimuktamadkan bersama Barisan Nasional (BN).

“Di peringkat PKR, seberapa mana dalam kawalan kami, sebaik sahaja selepas sambutan Tahun Baharu Cina, kami akan memulakan proses pencalonan, saringan dan sebagainya kerana proses itu melibatkan pandangan semua pihak dan akan ambil sedikit masa.

“Kami tidak akan tunggu, akan buat secara selari dahulu, sementara rundingan dengan BN tentang kerjasama pilihan raya itu berjalan. PKR dalam proses dalaman untuk mengenal pasti dan memuktamadkan calon dan akan dimulakan dalam tempoh dua minggu dari sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Pilihan Raya Negeri 2023 PKR Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sememangnya sudah menjadi pendirian PKR untuk mengumumkan calon lebih awal malah prinsip tersebut turut diterjemahkan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu di mana parti itu menjadi parti terawal yang mengumumkan calon yang bertanding.

“Daripada segi prinsipnya memang kami pegang, cuma dalam keadaan PRN Negeri Sembilan sekarang ini ia tertakluk kepada memuktamadkan terlebih dahulu bentuk kerjasama pilihan raya dengan UMNO,

“Apabila perkara itu telah berlaku, insya-Allah calon-calon dari PKR akan diumumkan jauh lebih awal daripada tarikh pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini akan dibubarkan pada bulan Mei ini bagi memberi laluan kepada PRN. 

Jelas beliau, jangkaan itu berdasarkan perbincangan secara tidak rasmi bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi negeri-negeri yang terlibat PRN. 

“Pada dasarnya kami setuju bubar pada bulan Mei, itu bermakna PRN dalam bulan Jun atau Julai, kita tidak ada masa, tinggal beberapa bulan lagi, jadi kami kena terus bersedia atur langkah bagi memastikan kemenangan,” katanya.-UTUSAN.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.