Polis cari dua lelaki curi topi keledar - Utusan Malaysia

Polis cari dua lelaki curi topi keledar

TANGKAP layar rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki mencuri topi keledar seorang pelanggan yang datang ke sebuah pasar raya di bandar Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Polis kini sedang mengesan dua lelaki yang dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) kerana mencuri topi keledar milik seorang lelaki yang membeli-belah di sebuah pasar raya di bandar ini. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd. Noh berkata, kejadian dirakam antara pukul 5.30 hingga 5.55 petang semalam di tempat letak motosikal di pasar raya berkenaan. 

Katanya, pemilik topi keledar,  Fadzil Salleh, 52, telah datang ke pasar raya berkenaan pada pukul 5.30 petang semalam dengan menaiki motosikal dan mengunci topi keledar miliknya sebelum beredar untuk membeli barangan.

“Selepas membeli barang kira-kira 25 minit, pengadu mendapati topi keledar yang dikuncinya telah tiada di atas motosikal dipercayai dicuri.

“Semakan menerusi CCTV mendapati dua orang lelaki yang belum dikenal pasti telah memotong tali topi keledar sebelum melarikan diri menggunakan motosikal jenis Ego Avantiz,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM50.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN