Polis buru pemilik akaun Facebook sentuh isu agama, perkauman - Utusan Malaysia

Polis buru pemilik akaun Facebook sentuh isu agama, perkauman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis kini sedang mengesan seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Agnes Cheong bagi siasatan lanjut berhubung hantaran di media sosial berkenaan yang didapati menyentuh isu berbaur perkauman.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan tersebut susulan satu aduan yang diterima kaunter aduan Balai Polis Mantin di sini, semalam daripada seorang wanita warga tempatan.

Jelas beliau, wanita berkenaan menyatakan sekitar bulan November tahun lalu, dia telah terlihat satu hantaran Facebook oleh pemilik akaun Facebook tersebut yang menulis dan memuat naik gambar yang menyentuh isu agama, perkauman dan kerabat diraja.

“Pemilik akaun Facebook berkenaan juga telah membuat satu lagi hantaran pada 1 Disember lalu. Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hasil siasatan mendapati hantaran tersebut telah dipadam dan pihak polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Abdul Malik berkata, pihaknya kini juga sedang mengesan dan menangkap suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti sambungan bekalan elektrik haram dan perlombongan bitcoin.

Ia susulan serbuan sepasukan anggota polis dari IPD Nilai dan Pasukan SEAL, Tenaga Nasional Bhd (TNB) di tiga buah premis di Nilai di sini semalam.

Jelas beliau, dalam serbuan bermula pukul 9 malam hingga 11.30 malam itu, sebanyak 101 buat mesin bitcoin, dua unit modem, dua unit penghala (router) dan satu unit pemprosesan pusat (CPU) telah dirampas.

“Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990. 

“Pihak polis juga sedang dalam usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kes ini. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian dinasihatkan hadir ke balai polis bagi membantu siasatan dan menghubungi IPD Nilai di talian 06-7904222,” katanya.

Jelasnya, hasil siasatan didapati ketiga-tiga premis telah beroperasi lebih kurang tiga bulan lalu dan nilai kerugian dialami TNB adalah sebanyak RM172,394.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya