Pokok timun punca gaduh, seorang pekerja Bangladesh terbunuh - Utusan Malaysia

Pokok timun punca gaduh, seorang pekerja Bangladesh terbunuh

PARANG dan paip besi yang dirampas dipercayai dijadikan senjata oleh kumpulan pekerja Bangladesh dan Myanmar yang bergaduh di sebuah kilang di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Gara-gara pokok timun dirosakkan, seorang pekerja terbunuh dalam pergaduhan melibatkan kumpulan warga Bangladesh dan Myanmar di sebuah kilang dekat sini kelmarin.

Susulannya, 10 orang, masing-masing lima pekerja Bangladesh dan Myanmar yang berusia antara 21 hingga 41 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di kilang menghasilkan produk elektronik itu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, suspek yang ditahan masing-masing lima lelaki warga Bangladesh dan Myanmar.

Pihak polis menerima laporan  tentang pergaduhan itu daripada seorang wanita warga tempatan pada pukul 12.28 tengah malam kelmarin. 

“Berdasarkan laporan itu, pada kira-kira pukul 4 petang, pengadu menerima aduan daripada seorang pekerja berkaitan pergaduhan di asrama sebuah kilang tempat mereka bekerja. 

“Hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati keadaan terkawal namun kira-kira pukul  5 petang, tiga orang pekerja telah dibawa oleh rakan-rakannya ke tengah jalan di kawasan kilang dalam keadaan cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Menurut Bahrin, pengadu dan rakannya telah membawa dua pekerja untuk mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang kerana salah seorang daripadanya  mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dalam keadaan tidak sedarkan diri serta kritikal.

“Seorang lagi pekerja telah dibawa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan. Walau bagaimanapun, salah seorang yang cedera, iaitu  lelaki warga Bangladesh, Md. Rubel Howlader, 31, telah disahkan meninggal dunia pada pukul 1.56 pagi semalam ketika menerima rawatan di HEBHK. 

“Pada peringkat awal, kes disiasat di bawah Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan cedera parah,” katanya.

Hasil siasatan mendapati pergaduhan bermula apabila pokok timun yang ditanam oleh si mati telah dirosakkan oleh suspek warga Myanmar.

“Si mati dan rakan-rakannya telah bertanya kepada suspek berkenaan pokok yang dipotong lalu telah berlaku pergaduhan antara mereka. Semua tahanan telah dikenakan tahanan reman selama tujuh hari hingga 2 Februari ini untuk membantu siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.