Negeri Sembilan catat sejarah, rekod pelaburan RM9b tahun lalu - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan catat sejarah, rekod pelaburan RM9b tahun lalu

AMINUDDIN Harun (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah satu syarikat pelabur sempena Majlis Penghargaan Pelabur anjuran Invest NS di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Negeri Sembilan berjaya mencacatkan jumlah pelaburan mencecah RM9 bilion pada tahun lalu iaitu pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini termasuk pelaburan berjumlah RM6 bilion daripada syarikat Samsung SDI Energy Malaysia Sdn. Bhd. (SDIEM) yang kini sedang membina sebuah kilang membuat sel bateri kenderaan elektrik (EV) Fasa ke-2 di Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar, Senawang di Seremban.

Menurut beliau, antara pelaburan besar yang telah pun dimulakan kerja-kerja pembinaan fasiliti adalah Dutch Lady Milk Industries (DLMI) Berhad dengan pelaburan bernilai RM450 juta di atas tanah seluas lebih 13 hektar di Bandar Baru Enstek. 

“Dutch Lady akan memindahkan sepenuhnya operasi mereka dari Petaling Jaya ke Bandar Enstek pada suku ketiga tahun ini dan bakal mewujudkan 400 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. 

“Terdapat dua lagi pelaburan baharu bakal dibuka di Bandar Enstek iaitu Mahsuri Food (M) Sdn. Bhd. dan Macfood Services (M) Sdn. Bhd. masing-masing pada akhir tahun 2023. 

“Manakala, Ajinomoto Malaysia Bhd. baru sahaja membuka kilang setelah selesai majlis perasmiannya pada 10 Disember 2022. Kesemua projek ini bakal menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Penghargaan Pelabur anjuran Invest Negeri Sembilan (NS) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTK) di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Aminuddin, beliau amat bersyukur apabila pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan telah mula menunjukkan perkembangan yang positif selepas tempoh pandemik Covid-19. 

Menurut beliau, ekonomi Negeri Sembilan terus dipacu oleh sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang tertinggi dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri ini untuk tahun 2021 iaitu sebanyak 50.9 peratus diikuti pula sektor pembuatan sebanyak 37.7 peratus.

“Perkembangan ekonomi ini sangat bergantung kepada pelaburan yang dibawa oleh sektor swasta sama ada dari dalam mahupun luar negara. Jika sektor pelaburan semakin rancak maka rantaian ekonomi akan lebih berkembang pesat sekali gus memanfaatkan semua pihak.

“Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa mengamalkan dasar yang terbuka dalam mengalu-alukan kemasukkan para pelabur terutamanya pemain industri yang berteknologi tinggi,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.