fbpx

Michelle Yeoh wanita Asia pertama dicalon untuk Oscar

MICHELLE YEOH

NEW YORK: “Kepada semua orang Asia, anda melihat ia berlaku, jadi ia tidak mustahil. Saya boleh melakukannya, begitu juga anda.”

Itu kata-kata semangat yang dikongsikan pelakon kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh apabila namanya tercalon bagi ka­tegori Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oscar ke-95.

Michelle mencipta sejarah kerana menjadi anak tempatan pertama yang berjaya dicalonkan ke anugerah Oscar.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu cemerlang melakonkan watak Evelyn Wang menerusi filem Everything Everywhere All at Once sekali gus melayakkannya tercalon dalam kategori berkenaan bersama pelakon gred A Hollywood termasuk Cate Blanchett, Ana de Armas, Andrea Riseborough dan Michelle Williams.

Beliau menyifatkan pencalonan tersebut sebagai bayaran kepada kerja keras selepas le­bih lima dekad bergelut dalam industri perfileman.

“Saya seorang yang sederhana, hanya bekerja dengan sekuat yang mungkin.

“Ramai pelakon wanita dan lelaki yang tahu mereka layak berada di atas, apa yang perlu mereka lakukan hanyalah rebut peluang,” katanya kepada portal Deadline.

Selain itu, Michelle turut melakar sejarah lebih besar selepas menjadi wanita Asia pertama yang layak bertanding dalam kategori tersebut.

Pelakon berusia 60 tahun itu diramalkan bakal menjadi pencabar terhebat untuk kategori tersebut selepas mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem (Muzikal/Komedi), Anugerah Golden Globe ke-80.

Beliau mencipta nama di persada perfileman antarabangsa menerusi filem Crouching Tiger, Hidden Dragon, Tomorrow Never Dies dan Crazy Rich Asians. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN