KUALA LUMPUR: Pemansuhan pencen anggota Kabinet boleh dilakukan dengan meminda Perlembagaan namun perkara tersebut tidak semudah seperti `tembak pistol’ selain ia turut terkait dengan kumpulan-kumpulan lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, pemansuhan itu berkait rapat dengan kelompok yang lain termasuk ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, selaras dengan Perkara 8 dalam Perlembagaan yang meletakkan kesamarataaan dengan kumpulan-kumpulan yang ada.
“Walaupun Parlimen boleh meminda Perlembagaan, praktikalitinya sangat berat sebab melibatkan orang yang terdahulu dan orang yang sedang berkhidmat.
“Kalau dihapuskan peruntukan pencen Jemaah Kabinet, maka pencen ahli-ahli anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Ahli Dewan Undagan Negeri juga diambil kira,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, tindakan memansuhkan pencen itu bukan mudah kerana melibatkan banyak perkara.
“Nombor satu, pencen seseorang itu tidak boleh diturunkan jumlahnya. Kedua, apa-apa yang nak dibuangkan haknya mesti sama rata di sisi Perkara 8 Perlembagaan sebab ia melibatkan ahli Parlimen, Dewan Negara, Dewan Rakyat dan legislatif negeri-negeri.
“Jika ia ingin dilakukan, banyak perkara perlu diteliti dan tidak semudah seperti tembak pistol,” ujarnya.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan mampu menjimatkan RM100 sehingga RM150 juta perbelanjaan negara setiap tahun sekiranya pencen bekas anggota Kabinet dimansuhkan.
Menurut Noor Amin, berdasarkan sistem semasa negara dan jumlah bekas Kabinet yang layak menerima pencen, kos yang ditanggung untuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen adalah RM100 hingga RM150 juta setahun.
KABINET
Sementara itu, pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pemansuhan pencen anggota Kabinet boleh dilaksanakan hanya melalui keputusan jemaah menteri kerana perkara tersebut di bawah Akta Parlimen.
Menurut beliau, jemaah menteri boleh membuat cadangan terhadap pindaan tersebut dan situasi itu berbeza dengan pencen perkhidmatan awam yang mempunyai peruntukan nyata di dalam Perlembagaan.
Kata beliau, Perkara 43 (9) Perlembagaan Persekutuan menyebut Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan anggota jemaah menteri.
“Jadi tidak sebut perkataan pencen, saraan sahaja, jadi tidak ada masalah kalau hendak semak kembali bagaimana bentuk saraan kepada anggota Kabinet, ahli Parlimen.
“Soal pencen anggota Kabinet tidak ada peruntukan nyata di dalam Perlembagaan sebaliknya melalui Akta Parlimen.
“Terserah kepada keputusan jemaah menteri sahaja untuk cadang pindaan tersebut (Pemansuhan pencen anggota Kabinet). Kerajaan boleh pinda Akta Parlimen jika hendak melaksanakan cadangan tersebut, tidak ada masalah,” katanya.- UTUSAN










