PUTRAJAYA: Kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dengan memastikan penularan wabak Covid-19 yang kembali mengancam dunia ketika ini disekat daripada merebak di negara ini.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun kepentingan ekonomi perlu dijaga termasuk sektor pelancongan namun ia tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat.
Katanya, kerajaan tidak akan menyekat kemasukan pelancong dari mana-mana negara, tetapi mereka akan disaring dengan teliti bagi menyekat penularan wabak tersebut dan kawalan serta pencegahan akan dilakukan sama rata kepada rakyat dari semua negara.
“Kabinet secara tegas memutuskan bahawa kesihatan adalah keutamaan dan persoalan mengenai pelancongan dan ekonomi tidak boleh mengatasi kepentingan ini,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet semalam.
Selari dengan pendirian kerajaan itu kata beliau, Malaysia tidak akan mendiskriminasi rakyat China kerana tindakan sama turut terpakai kepada negara yang mempunyai kadar jangkitan tinggi seperti Amerika Syarikat (AS).
“Ini bermakna kerajaan tidak menyekat kemasukan pelancong dari China kerana mengambil kira kes jangkitan wabak itu sudah menular ke negara-negara lain, tidak hanya di negara berkenaan (China),” tegas Anwar.
KEUTAMAAN
Kata beliau, masalah kesihatan rakyat adalah keutamaan tertinggi tanpa mengatasi kepentingan soal pelancongan dan pertumbuhan ekonomi yang tidak boleh dikompromi dalam mengawal dan merawat rakyat daripada wabak Covid-19.
Amerika Syarikat, Kanada, Perancis dan Jepun adalah antara 12 negara yang kini mewajibkan pelawat dari China menunjukkan keputusan negatif ujian Covid-19 sebelum dibenarkan memasuki negara-negara tersebut.
Magribi pula mengeluarkan larangan masuk kepada pelancong dari China mulai 3 Januari lalu berikutan peningkatan kes Covid-19.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Nin menyifatkan sekatan sebilangan negara terhadap pelancong republik itu adalah amalan tidak boleh diterima dan akan mengambil langkah tindak balas .
Pada sidang akhbar sama, Anwar berkata, berdasarkan fakta, jumlah ketibaan pelawat dari negara China sepanjang tahun lalu adalah sejumlah 336,000 yang majoriti besar adalah dalam kalangan pelancong.
Anwar berkata, jumlah pelawat dari negara berkenaan khusus pada Disember adalah sekitar 53,000 dan berdasarkan pemantauan, ia tidak memberi kesan kepada lonjakan jangkitan yang boleh dikaitkan dengan mana-mana negara.
JANGKITAN
Jelas beliau, tindakan memperketatkan kawalan kemasukan warga asing itu tidak memilih negara kerana penularan jangkitan adalah lebih kompleks, sebagai contoh apabila ada dalam kalangan pelancong dari Indonesia pernah melawat ke China, jadi sebarang tindakan tidak boleh diambil secara gopoh semata-mata bersandarkan kepada beberapa laporan sahaja.
Pada masa sama, Anwar menyeru rakyat segera mengambil suntikan vaksin dos penggalak sebagai salah satu usaha pencegahan jangkitan lebih teruk memandangkan sambutan bagi pengambilan dos itu amat rendah iaitu 49 peratus sahaja.
Sedangkan, kata beliau, dos vaksin yang masih ada berjumlah 6 juta dan mencukupi, malah ada vaksin yang perlu dilupuskan kerana tamat tarikh luput.
“Jadi saya usulkan mula dengan wartawan yang belum ambil dos penggalak kerana berdasarkan unjuran dan kajian Kementerian Kesihatan, kes Covid-19 ini belum tamat, jadi kita minta yang belum ambil dos penggalak berbuat demikian kerana vaksin masih ada.
“Jadi pada Januari ini semua wartawan dikehendaki mengambil dos penggalak, barulah disusuli rakyat. Kalau wartawan menjadi contoh teladan baik, ia disusuli rakyat menerusi kalangan mereka,” katanya. – UTUSAN










