PUTRAJAYA: Kerajaan sedia merombak prosedur pemantauan dan pematuhan halal jika wujud kepincangan dalam mana-mana peringkat sehingga berlaku pelanggaran protokol rantaian industri itu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, soal berkaitan halal menjadi keutamaan beliau dalam usaha memastikan tiada unsur-unsur meragukan dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut sehingga menjejaskan kepercayaan umat Islam di negara ini.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Bahagian Hab Halal di bawahnya sebagai badan yang mengawal selia aspek pematuhan halal juga dipastikan dapat memainkan peranan lebih berkesan untuk menilai semula segala tatacara serta prosedur berkaitan untuk melaksanakan perubahan lebih baik.
Katanya, ini termasuk memastikan badan halal luar negara yang diiktiraf Jakim melibatkan pemantauan rumah-rumah sembelihan supaya pihak yang terlibat tiada ruang untuk melanggar piawaian dan protokol ditetapkan.
Namun, beliau mahu mengambil pendekatan bertemu dengan pihak industri halal yang terlibat terlebih dahulu untuk mendengar dan mengenal pasti permasalahan supaya tindakan dan keputusan dilaksanakan lebih kukuh.
“Dalam minggu ini, saya akan panggil pemain industri seperti pengilang dan syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri halal untuk saya dengar sendiri pada peringkat awal untuk berbincang bersama Bahagian Hab Halal Jakim.
“Kita nak tengok bagaimana cara kita mahu selesai isu ini, apa respon kepada industri dan apa tindakan yang boleh diambil,” katanya dalam wawancara di pejabat beliau, di sini, kelmarin.
Akhbar ini sejak tahun lalu mendedahkan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia, Thomas Food Industries (TFI) yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.
Ekoran itu, kerajaan mengambil keputusan menggantung TFI sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh berhubung kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal pusat penyembelihan itu yang diputuskan sebulat suara dalam satu sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jakim dengan pihak berkuasa Australia.
Pendedahan itu kemudian membongkarkan sebuah lagi pusat penyembelihan di negara sama melalui pengakuan tiga bekas pekerja berhubung ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di sana selepas isu sama berlaku di TFI.
Isu halal terus dibangkitkan dalam laporan Utusan Malaysia awal tahun ini apabila sebuah makmal ujikaji makanan swasta mendedahkan sekurang-kurangnya terdapat empat produk makanan import dengan logo halal dari luar negara yang diiktiraf Jakim didakwa mempunyai gelatin babi.
Mohd. Na’im berkata, beliau tidak berkompromi soal halal dan haram, justeru tidak salah mengakui jika ada kelemahan untuk membuat perubahan merombak sistem sedia ada.
Pada masa sama, beliau memberitahu, Jakim sedang mengatur pertemuan dengan penulis blog, Murray Hunter yang turut membongkarkan isu halal termasuk dakwaan berlaku isu intergriti dan kompetensi pegawai dalam proses Pensijilan Halal Malaysia.
“Kita akan panggil semua pihak termasuk Murray Hunter, Ketua Pengarah Jakim maklumkan sepatutnya pertemuan secara online pada 11 Januari lalu, tetapi Murray minta tangguhkan ke tarikh lain,” ujarnya. – UTUSAN










