Keluarga disamun empat lelaki bersenjata - Utusan Malaysia

Keluarga disamun empat lelaki bersenjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka dipecah masuk empat lelaki bersenjatakan parang dan mengalami kerugian sebanyak RM30,000 dalam kejadian di sebuah taman perumahan di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Abdul Malik Hasim berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang merupakan pemandu bas memaklumkan rumahnya telah disamun pada pukul 6 pagi.

“Dalam kejadian itu, suspek telah mengacukan parang kepada mangsa dan ahli keluarga sebelum memaksa isteri mangsa menyerahkan barang kemas yang dipakai.

“Mereka sekeluarga kemudiannya ditempatkan di sebuah bilik dan suspek telah menggeledah rumah tersebut sebelum melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta jenis Proton Waja,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Abdul Malik, hasil siasatan mendapati suspek telah memanjat pagar rumah seterusnya masuk ke dalam rumah mangsa yang tidak berkunci dan mengacukan parang kepada isteri mangsa yang sedang menggosok baju di sebuah bilik. 

“Hasil pemeriksaan mendapati wang tunai mangsa lebih kurang RM9,500 telah hilang dan kerugian keseluruhan sebanyak RM30,000,” katanya 

Abdul Malik berkata, pihak polis kini mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kes ini.

“Sekiranya orang awam mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, mereka dinasihatkan untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904222.

“Orang awam juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan memastikan kediaman dikunci dengan rapi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Tambah beliau, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan melakukan samun berkumpulan dengan senjata.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya