TSUNAMI politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan Pas menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan dijangka berterusan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Andaian itu nampak berasas apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini bermati-matian menafikan parti tersebut tidak bekerjasama akhirnya melanggar ‘sumpah’ berkenaan dengan membentuk gabungan selepas PRU15 menerusi Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu dilihat memberi kelebihan buat Pas untuk terus kekal meneraju pentadbiran Kelantan pada penggal akan datang.
Mengukuhkan lagi kedudukan Pas apabila parti itu menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU15 dengan memperoleh majoriti lebih 20,000 dan ke atas kecuali Gua Musang menerusi kemenangan 163 undi.
Bagaimanapun, perkembangan itu dilihat kurang ‘baik’ untuk pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang terutama dalam aspek melibatkan kepentingan rakyat seperti air, perparitan dan peluang pekerjaan.
Justeru, pada PRN kali ini, Kelantan memerlukan pembangkang yang kuat untuk melakukan semak dan imbang bagi ‘menekan’ kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab lebih berkesan dalam membela nasib rakyat.
Tanpa pembangkang yang kuat, berkemungkinan besar semak dan imbang itu sukar dilakukan malah serambi Mekah dijangka berada pada takuk lama tanpa sebarang nafas baharu kecuali janji-janji manis.
Namun, semua itu terpulang kepada PH dan BN untuk membuat ketetapan berhubung kerjasama antara kedua-dua parti itu. Sehingga hari ini, kedua-dua parti belum menunjukkan tanda-tanda ‘serius’ untuk menjalinkan kerjasama di Kelantan bagi menumbangkan pentadbiran Pas yang sudah berusia lebih tiga dekad.
PH dan BN seharusnya duduk semeja dan membentuk kerjasama secara tanpa berselindung serta serius bermula sekarang jika benar-benar mahu menjadi pembangkang yang kuat atau kerajaan. Walaupun dilihat masih terlalu awal, namun usaha ini perlu digerakan dari sekarang kerana ia melibatkan banyak perkara termasuk agihan kerusi, senarai calon, penggunaan logo dan lain-lain.
Situasi tersebut pastinya membuatkan kedua-dua penyokong parti ternanti-nanti bentuk kerjasama yang dijalankan oleh PH-BN di negeri ini.
Andainya kerjasama BN-PH menjadi kejayaan, PRN kali ini bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara gabungan Kerajaan Perpaduan dengan Pas. – UTUSAN










