PETALING JAYA: Pengarah filem, Zulkarnain Azhar, menegaskan keputusan menyiarkan filem Polong ke platform penstriman bukan di bawah bidang kuasanya, sebaliknya merupakan keputusan mutlak pihak produksi.
Zulkarnain, 44, berkata, dia kekal dengan pendirian tidak merestui penayangan karya tersebut di skrin kecil kerana naskhah Polong dihasilkan khusus untuk pengalaman tontonan di layar lebar.
“Benda ini bukan dalam kuasa saya. Secara peribadi, saya memang tidak mahu ia ditayangkan di situ kerana saya percaya filem seharusnya dinikmati di pawagam.
“Jika mahu dilepaskan ke mana-mana platform penstriman sekalipun, perlu ada tempoh matang sebelum ia memasuki layar kecil.
“Saya beri contoh dahulu, penonton ke panggung kerana perlu menunggu sekurang-kurangnya setahun sebelum filem ditayangkan di televisyen.
“Tontonan selain di pawagam sepatutnya bertujuan untuk mengulang tonton (recap) bahagian yang tertinggal sahaja, bukannya sebagai platform utama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Tambah Zulkarnain, kualiti teknikal Polong daripada aspek sistem bunyi sehingga proses adunan (mixing) dilakukan mengikut piawaian pawagam dan bukannya untuk tontonan televisyen atau peranti peribadi.
Walaupun menghormati keputusan penerbit eksekutif untuk melepaskan hak siaran, Zulkarnain menyifatkan tindakan tersebut bakal memberi kesan jangka panjang kepada ekosistem perfileman negara.
“Saya tahu ramai yang menyalahkan saya, tetapi saya tidak memberi restu Polong ditayangkan di platform penstriman dalam jarak masa yang terlalu dekat, iaitu kurang empat bulan daripada tarikh tayangan.
“Kita mahu memupuk budaya masyarakat ke panggung. Jika filem dijual terlalu awal kepada OTT (over-the-top), modal asal filem tetap sukar diperoleh kembali, apatah lagi jika naskhah tersebut bukan karya box office,” tegasnya.
Susulan tindakan itu juga, Zulkarnain mengambil keputusan untuk membatalkan hasrat menghasilkan sekuel Polong 2 walaupun filem pertamanya berjaya mencatatkan kutipan memberangsangkan sebanyak RM15 juta.
“Saya faham ini mungkin keputusan perniagaan, namun saya agak kecewa dengan pihak penerbit kerana tidak bertegas dalam memegang prinsip. Saya pada mulanya merancang menghasilkan Polong 2 kerana percaya sokongan penonton ke panggung akan berterusan.
“Tetapi apabila sudah jadi begini, adakah orang masih mahu menunggu di pawagam pada masa depan?” soalnya.
Terdahulu, peminat mula mempersoalkan kredibiliti pihak produksi apabila Polong disenaraikan sebagai filem yang bakal ditayangkan di sebuah platform penstriman bermula esok.
Isu tersebut menjadi bualan hangat memandangkan pada Mei lalu, Zulkarnain pernah mengeluarkan kenyataan tegas bahawa pihaknya tiada rancangan untuk menayangkan naskhah tersebut di platform penstriman demi menghargai penonton yang hadir ke pawagam. – UTUSAN










