Kayu getah: Pekebun kecil rugi RM100j setiap tahun

Kayu getah: Pekebun kecil rugi RM100j setiap tahun

PEKEBUN kecil getah meminta kerajaan membenarkan semula eksport kayu getah bagi mengelak dieksploitasi syarikat tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pekebun kecil industri getah kerugian kira-kira RM100 juta setiap tahun sejak larangan pengeksportan kayu getah ke luar negara bagi tujuan pembuatan perabot dikuatkuasakan dan eksploitasi oleh pemain industri perabot tempatan.

Ketua Biro Penerangan, Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Amran Jaafar ketika mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia berkata, kerugian itu berdasarkan kepada trend penurunan harga kayu getah semasa.

Menurut beliau, setiap tahun pokok getah yang ditanam semula di seluruh negara membabitkan kawasan seluas kira-kira 20,000 hektar.

Katanya, sebelum tahun 2000, pekebun kecil mampu memperoleh sehingga RM8,000 untuk satu hektar kayu getah yang ditebang dan dieksport iaitu kira-kira RM160 juta bagi semua 20,000 hektar kebun getah.

Namun katanya, apabila kerajaan menyekat eksport kayu getah ke luar negara, pemain industri perabot tempatan mengeksploitasi keadaan dengan menawarkan harga le­bih murah pada kadar RM3,000 sahaja bagi satu hektar kebun, dengan hasil cuma RM60 juta setahun bagi keseluruhan 20,000 hektar.

Beliau berkata, pada tahun 1990-an, lazimnya selepas pokok getah ditebang, kayu getah itu akan dijual ke pasaran luar negara sebagai balak dan ia dipasarkan kepada pembeli dan pengimport luar yang terlibat dalam industri pembuatan perabot.

DISEKAT

Namun, katanya, eksport kayu getah mula disekat apabila kerajaan meminta pekebun-pekebun kecil menjual kayu kepada industri perabot tempatan sahaja.

“Isunya ialah kerajaan minta pekebun menyokong industri perabot tempatan. Mereka mahu menjaga industri perabot tempatan tetapi apa pula yang terjadi kepada nasib pekebun kecil terutama di sektor hiliran apabila ada pihak yang mengambil kesempatan?” soalnya.

Dalam pada itu, Amran berkata, penjualan kayu getah merupakan mata pencarian utama pekebun kecil seluruh negara selepas pokok getah tua ditebang.

Justeru, kerajaan perlu mempertimbangkan semula kebenaran bagi pekebun-pekebun kecil untuk mengeksport kayu getah keluar negara demi menjamin kelangsungan hidup kumpulan tersebut yang terkesan akibat harga getah yang terlalu rendah sekarang.

“Kerajaan harus faham, apabila kita tebang pokok getah yang sudah berusia, maksud­nya kita hilang pendapatan.

“Pekebun kecil perlu tunggu lima tahun baru boleh toreh pokok getah yang baru ditanam.

“Jadi, melalui hasil kayu getah yang dijual, apabila pekebun kecil jual kayu itu, dapatlah mereka pendapatan sampingan untuk menampung kehidupan.

“Jadi, perlulah diadili dengan sebetulnya isu ini agar nasib pekebun kecil terbela. Janganlah semata-mata mahu menjaga industri perabot tempatan sampai terpaksa ‘membunuh’ lebih ramai pekebun kecil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN