Jualan mentarang Perlis cecah RM1.05 juta seminggu - Utusan Malaysia

Jualan mentarang Perlis cecah RM1.05 juta seminggu

JUALAN mentarang sempena musim siput berkenaan laris di pasar nelayan Kuala Sungai Baru di Perlis baru-baru ini.– UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Musim mentarang baru-baru ini memberi pulangan rezeki lumayan dengan jualan siput berkenaan dianggarkan mencecah RM1.05 juta membabitkan 70 tan metrik dalam seminggu.

Malah, ada dalam kalangan peniaga mentarang mampu menjana pendapatan antara RM2,000 sehingga RM10,000 sehari hasil jualan sepanjang tempoh berkenaan.

Turut menikmati rezeki lumayan tersebut adalah penduduk sekitar Kuala Perlis dan Kuala Sungai Baru di sini yang memperoleh pendapatan sekitar RM200 hingga RM300 sehari dengan menjual hasil tersebut kepada peraih.

Kemunculan mentarang atau nama saintifiknya pholas orien­talis, spesies hidupan laut bercengkerang lazimnya pada Di­sember sehingga Januari iaitu ketika peralihan ke musim angin timur.

Difahamkan, sejak tiga ke empat tahun kebelakangan ini mentarang tersebut tidak muncul dan tahun ini hidupan laut tersebut kembali memenuhi kawasan pantai sekali gus menyebabkan hasil tangkapan dan jualan meningkat mendadak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga hasil laut, Sabitah Mohamad, 40, ber­kata, jualan harian siput mentarang di gerainya di Kuala Sungai Baru meningkat hampir lima kali ganda berbanding kebiasaan.

PELANCONG

Katanya, peningkatan jualan itu turut didorong kehadiran pelancong dari seluruh negara yang mahukan hasil laut yang segar dan berkualiti di sepanjang pesisiran pantai Kuala Perlis.

“Kalau hari biasa, jualan di kedai saya sekitar RM2,000 namun kehadiran pelancong ke negeri ini pada musim cuti ini membantu jualan naik sehingga RM10,000 sehari,” katanya.

Katanya, orang ramai mengambil kesempatan untuk membeli mentarang pada harga runtuh iaitu antara RM8 hingga RM10 satu kilogram berbanding di luar waktu kemuncak iaitu RM15 bergantung kepada saiz hidupan laut itu.

Tambahnya lagi, siput mentarang bukan sahaja digemari penduduk tempatan malahan turut mendapat permintaan tinggi di Thailand.

Katanya, dianggarkan seku­rang-kurangnya lapan tan metrik siput mentarang dieksport ke Thailand dalam tempoh seminggu ketika kemuncak musim hidupan laut itu baru-baru ini.

“Mentarang bersaiz besar dengan anggaran 10 hingga 12 ekor dengan berat satu kilogram sangat diminati oleh penduduk negara jiran dan mempunyai nilai cukup tinggi di sana.

“Apabila sampai di Thailand, haiwan bercengkerang itu akan dibersihkan lalu dikeringkan sebelum dijadikan juadah hidangan dengan harga sekitar RM80 bagi berat satu kilogram,” katanya.

Seorang penduduk tempatan, Mohd. Farizul Che Ya,22, berkata, dia tidak melepaskan peluang mencari mentarang baru-baru ini yang mampu memberi pendapatan kepadanya.

Pada sebelah pagi, dia turun menangkap atau ‘menggagau’ mentarang dari pukul 6 sehingga 9 pagi dan 5 hingga 7 petang, seterusnya mampu memperoleh hasil sekitar 50 hingga 60 kilogram dalam tempoh hanya beberapa jam.

“Di Kuala Sungai Baru ini bagaikan pesta setiap kali musim kemunculan mentarang ini. Kalau hasil banyak saya mampu menjana pendapatan ratusan ringgit sehari hasil jualannya,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN