‘Individu burukkan parti tidak wajar diampunkan’ - Utusan Malaysia

‘Individu burukkan parti tidak wajar diampunkan’

TANGKAP layar video Tik Tok Khairy Jamaluddin ketika membuat dakwaan ada pengundi hantu pada PAU 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Khairy Jamaluddin yang mendakwa terdapat ‘perwakilan hantu’  pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) menggambarkan beliau cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap parti sendiri.

Menjelaskan perkara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, perkara itu tidak sepatutnya kerana setiap ahli parti seharusnya akur pada setiap apa yang diputuskan oleh sesebuah parti.

Menurut beliau, jika terdapat sebarang pertikaian sekalipun, ia seharusnya dibincang di peringkat dalaman, sekali gus tidak menggunakan media sosial sebagai medium melaporkan sesuatu perkembangan seperti yang berlaku pada PAU 2022 hujung minggu lalu.

“Betul atau salah itu nombor sepuluh, tetapi ceritanya kita perlu balik pada asas yang kita ini adalah berpersatuan. Jadi kita perlu akur pada persatuan yang kita sertai. Jika membuat kenyataan yang memburukkan parti, ia tidak boleh diampunkan dan orang sebegini tidak layak diberi sebarang jawatan.

“Nak jadi pemimpin, perkara asas perlu kita ketahui. Dia pertikai orang yang melanggar disiplin, tetapi diri sendiri melanggar disiplin, nak kata apa pula?” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, PAU 2022 panas apabila wujud dakwaan, cubaan membawa masuk pengundi hantu bagi meluluskan usul tambahan untuk tidak membenarkan dua jawatan tertinggi dalam parti dipertandingkan.

Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dalam satu video berkata, beliau difahamkan tag kedudukan perwakilan yang sebelum ini diletakkan di kerusi Dewan Merdeka turut telah ditanggalkan.

Sementara itu, seorang lagi ahli MKT, Datuk Seri Sharkar Shamsudin berkata, Khairy perlu menunjukkan bukti jika dakwaan beliau itu benar.

“Presiden sudah menjelaskan perkara itu akan dibawa ke Lembaga Disiplin untuk menyiasatnya, jadi kita minta supaya siasatan itu dibuat secara adil dan sewajarnya, dan Khairy juga perlu menunjukkan bukti jika ia adalah perkara yang benar.

“Kalau betul beliau bersalah, hukuman perlu dijatuhkan ke atas Khairy,” kata beliau.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN