Harga getah jatuh dipengaruhi faktor luar - Utusan Malaysia

Harga getah jatuh dipengaruhi faktor luar

SEORANG penoreh termenung memikirkan kejatuhan mendadak harga getah antara RM2 ke RM2.30 sekilogram ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harga getah yang kekal sekitar RM2 sekilogram di sebalik harapan pekebun untuk  meraih harga RM3 sekilogram dipengaruhi pelbagai faktor termasuk konflik Rusia-Ukraine yang menyebabkan  penoreh terus dibelenggu kemiskinan.

Kementerian Perdagangan dan Komoditi dalam kenyataan berkata, pihaknya memahami situasi  dialami  pekebun kecil dan akan memastikan program serta aktiviti yang lebih tuntas dilaksanakan agar dapat meringankan beban mereka.

“Faktor penurunan harga getah adalah berkait rapat dengan pelbagai faktor. Antaranya berikutan prospek ekonomi global yang lembab, peningkatan bekalan getah asli, penurunan harga minyak mentah yang mempengaruhi permintaan getah sintetik berbanding getah asli dalam pembuatan produk getah.

“Selain itu, ia juga dipengaruhi kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat-China dan ketidaktentuan konflik Rusia-Ukraine.

“Faktor pasaran serantau dan faktor ekonomi global tersebut memberi pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah di pasaran. Malaysia tidak mempunyai kedudukan yang kuat sebagai pengeluar untuk melakukan intervensi meningkatkan harga getah secara unilateral di pasaran antarabangsa,” katanya.

Jelas kenyataan itu, Malaysia ketika ini hanya mengeluarkan empat peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia.

Baru-baru ini, Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendedahkan 500,000 pekebun kecil getah di seluruh negara merugut dan berasa dipandang sepi oleh kerajaan  ekoran kejatuhan harga komoditi berkenaan.

Penoreh getah mengharapkan harga getah naik melebihi RM3 sekilogram namun apa yang berlaku, harganya jatuh mendadak antara RM2 hingga RM2.30 sekilogram.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, pihak kementerian dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah mengadakan siri perbincangan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan untuk mengurangkan impak kejatuhan harga getah dalam usaha membantu penoreh dan pekebun kecil getah.

Antara inisiatif kementerian adalah Insentif Pengeluaran Getah (IPG), pelakanaan MyROL yang merupakan salah satu kaedah pemasaran getah melalui kaedah tender secara atas talian, Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dan Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya