Gerak kerja bantu, santuni rakyat tidak pernah pudar - Ismail - Utusan Malaysia

Gerak kerja bantu, santuni rakyat tidak pernah pudar – Ismail

ISMAIL Abd. Muttalib (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesakit barah paru-paru Nonarizam Mohamed Nawawi di Kampung Paya Ladang, Chenor di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Gerak kerja membantu dan menyantuni rakyat di sini tidak pernah pudar malah semakin membara walaupun mewakili pasukan atau parti berlainan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, rakyat sudah pun memberikan kepercayaan kepadanya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di situ setelah mengambil kira rekod perkhidmatan selama empat penggal berkhidmat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebaik sahaja menang sebagai calon Perikatan Nasional (PN), beliau terus menyantuni penduduk yang uzur dan terlantar sakit yang memerlukan bantuan dan pembelaan sewajarnya menerusi program ziarah kasih.

Beliau berkata, program itu hasil kerja Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Maran yang aktif turun padang untuk mengenal pasti penerima yang layak.

“Ziarah kasih ini juga sebagai tanda prihatin dengan nasib penduduk selain platform untuk merapatkan silaturahim antara pemimpin dan orang kampung,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pesakit barah paru-paru Nonarizam Mohamed Nawawi, 44, di Kampung Paya Ladang, Chenor di sini hari ini.

Ismail berkata, menerusi program turun padang, wakil rakyat dapat merasai sendiri denyut nadi rakyat dan dapat mendengar sendiri masalah dan keluhan mereka.

“Seterusnya ini menjadi asas untuk kita membantu dengan mencari penyelesaian yang sesuai. Insya-Allah saya akan sedaya upaya memenuhi hajat pesakit mengikut kemampuan yang ada. Biar patah sayap bertongkat paruh bakti kepada rakyat tetap ditunaikan,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN