BERA: UMNO tidak boleh bernostalgia dengan kejayaan silam kerana hari ini terbukti orang Melayu semakin menjauhkan diri daripada parti berkenaan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pilihan raya umum di enam negeri sebelum ini membuktikan hanya 20 peratus orang Melayu masih bersama UMNO.
Beliau berkata, yang mampu mengembalikan kekuatan ini adalah akar umbi di bahagian dan cawangan dengan terus mendekati komuniti setempat khususnya golongan muda.
“UMNO perlu menarik kembali pengundi teras (Melayu) terutama pengundi 18 tahun yang sukar untuk dikesan.
“Golongan muda ini amat bergantung kepada media sosial dan platform ini harus dikuasai sepenuhnya oleh jentera parti,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera 2024 di Dewan Kompleks Rakan Muda Daerah Bera di sini.
Tambah Ismail Sabri, sesungguhnya tonggak kekuatan UMNO adalah di bahagian dan cawangan kerana mereka berada bersama masyarakat sekeliling. – UTUSAN










