Gajah pecah tingkap rumah ‘curi’ makanan

Gajah pecah tingkap rumah ‘curi’ makanan

SEEKOR gajah bertindak memecah tingkap dapur untuk mengambil makanan dalam kejadian di Felda Aring 8, Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Tiga orang pekerja ladang berdepan detik cemas selepas seekor gajah liar bertindak memecahkan tingkap di bahagian dapur rumah sebelum ‘mencuri’ makanan dalam kejadian di Felda Aring 8 di sini, pada Rabu lalu.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, ketiga-tiga pekerja berkenaan sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi pinggan, sudu dan periuk jatuh atas lantai.

Saksi kejadian Mohd. Khairul Faiza Muhammad Din, 30, berkata terkejut dengan bunyi tersebut dia bersama rakan bangun terus bergegas ke dapur untuk membuat pemeriksaan.

Menurutnya, mereka kemudian terkejut menjadi seekor gajah liar sedang mencari makanan di kawasan dapur.

“Saya bersama rakan-rakan terkejut apabila melihat gajah memecahkan cermin tingkap di bahagian sinki dan belalai gajah itu melilau mencari makanan.

“Gajah terbabit memasukkan belalai melalui cermin yang pecah dan merosakkan semua barangan yang berada berhampiran sinki,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Khairul Faiza memberitahu, dalam kejadian kedua pada tiga hari lalu pula, gajah berkenaan muncul kembali mengambil beberapa barang makanan seperti garam, minyak dan mi segera yang berada di kawasan sinki terbabit.

Katanya, kejadian itu merupakan insiden kali pertama sejak bekerja di ladang itu enam tahun lalu.

“Kami dan pekerja ladang lain kini hidup dalam kebimbangan jika gajah terbabit datang kembali merosakkan barang dan mengambil makanan.

“Ini bukan kali pertama saya melihat gajah kerana haiwan liar ini selalu berkeliaran di dalam ladang dan merosakkan pokok kelapa sawit yang ditanam. Kini, kami bimbang dengan keselamatan apabila gajah itu mula menghampiri kawasan rumah,” ujarnya.

Mohd. Khairul Faiza berkata, dia sudah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan pihak berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.