Empat beranak nyaris maut angkara pemandu mabuk - Utusan Malaysia

Empat beranak nyaris maut angkara pemandu mabuk

KEADAAN Toyota Vios milik seorang lelaki yang remuk dirempuh kenderaan dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk di Kilometer 57, Jalan Batu Pahat-Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Empat beranak nyaris maut apabila kereta dinaiki dirempuh oleh kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk di Kilometer 57, Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang, kereta Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 34 tahun yang membawa tiga ahli keluarganya tiba-tiba dirempuh Nissan Navara dipandu oleh lelaki berusia 29 tahun ketika kedua-dua kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Bandar Kluang menuju ke Kahang. 

“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu berusia 29 tahun itu telah melanggar bahagian belakang kereta Toyota Vios  menyebabkan pemandunya hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan sebelum melanggar sebatang pokok di bahu jalan. 

“Akibatnya,  seorang wanita berusia 37 tahun, dua kanak-kanak perempuan termasuk pemandu kereta Toyota Vios dipercayai sebuah keluarga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemandu Nissan Navara itu berjaya ditahan polis dan hasil pemeriksaan mendapati ketika kejadian dia berada dalam pengaruh alkohol. 

“Saringan ujian air kencing bagaimanapun didapati negatif dadah dan lelaki berkenaan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. 

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya