Dua maut, lori kontena bawa barang lusuh terbakar - Utusan Malaysia

Dua maut, lori kontena bawa barang lusuh terbakar

ANGGOTA bomba sedang menjalankan tugas-tugas pemadaman sebuah lori kontena yang terbakar di Kilometer 259.6 (Arah Selatan) berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Port Dickson dekat Rasah, Seremban pagi ini. -GAMBAR/IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua individu maut selepas mereka terperangkap di dalam kepala lori dalam kejadian kebakaran sebuah lori kontena di Kilometer 259.6, Lebuh Raya Utara Selatan  (Arah Selatan) berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Port Dickson dekat Rasah pagi ini.

Ketua Balai Bomba Seremban 2, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian tersebut pada pukul 8.42 pagi dan setibanya di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah lori kontena yang membawa muatan barang lusuh plastik.

KEADAAN lori kontena yang terbakar dalam dalam kejadian di Kilometer 259.6 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Selatan) berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Port Dickson dekat Rasah, Seremban pagi ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

“Kebakaran melibatkan sebuah lori kontena yang terbakar di bahagian kepala lori yang musnah 100 peratus. Dua mangsa maut di dalam lori tersebut  dan setakat ini jantina dan pengenalan diri kedua-dua mangsa yang merupakan pemandu dan kelindan lori itu masih belum dapat dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan berlaku ketika lori kontena itu dalam perjalanan dari Klang menuju ke Senawang.

Tambahnya, apabila tiba di lokasi kejadian, lori yang berada di lorong kiri dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan melanggar penghadang jalan dan terbakar.

“Akibat kemalangan tersebut, lori telah terbakar dan mangsa yang merupakan pemandu dan penumpang hadapan telah tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian.

“Kedua-dua mayat telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk pengendalian bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya