JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun dikenali sebagai ‘doktor’ yang merupakan pembekal dadah antara 78 individu ‘lalok’ yang ditahan di beberapa premis hiburan di sekitar Batu Pahat dan Kluang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan mulai pukul 1 hingga 3 pagi.
Mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 68 tahun, dengan 55 daripadanya merupakan lelaki tempatan, 15 wanita tempatan serta tiga lelaki dan lima wanita warga asing.
“Dalam serbuan yang dijalankan di tiga buah premis hiburan yang beroperasi melebihi had waktu itu, seramai 246 individu diperiksa dan 78 yang ditahan adalah atas pelbagai kesalahan termasuk dadah dan imigresen. Antara yang ditahan termasuk tiga pembekal yang mengedarkan dadah ke premis-premis hiburan, iaitu dua lelaki tempatan berusia 25 dan 33 tahun serta seorang lelaki warganegara asing berusia 32 tahun yang dikenali dengan panggilan doktor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hasil saringan ujian air kencing mendapati seramai 68 orang yang terdiri daripada 49 lelaki dan 19 wanita positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan THC.
Pihak polis turut merampas pelbagai dadah bernilai RM261,797, antaranya 3.43 kilogram serbuk ekstasi, 1,368 biji pil ekstasi, 417.08 gram ketamin dan 300 biji pil eramin 5. yang boleh digunakan seramai 15,206 penagih.
“Turut dirampas sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM31,218. Nilai keseluruhan rampasan melibatkan dadah dan barangan ialah RM408,015,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, kesemua yang ditahan kini direman antara satu hingga enam hari untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(2) dan Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor 4/98.
Beliau turut memaklumkan, sejak 1 hingga 20 Januari lalu, pihaknya telah menahan seramai 1,078 suspek atas pelbagai kesalahan dadah serta membuat rampasan dadah seberat 602.66 kilogram. – UTUSAN