PETALING JAYA: Undang-undang salah laku pegawai kerajaan perlu diwujudkan agar mereka yang cuai hingga mengakibatkan kerugian kepada kerajaan dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah dan seterusnya dikenakan hukuman berat.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pengenalan undang-undang itu dapat mengingatkan penjawat awam agar berhati-hati dalam mengendalikan proses perolehan dan tender kerajaan bagi mengelakkan ketirisan dana seperti mana teguran Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.
Jelasnya, sebarang pendedahan salah laku dalam laporan itu dilihat tidak memberi kesan besar terhadap kementerian atau jabatan apabila pegawai sama dikesan melakukan kesalahan sama beberapa kali di samping hanya dikenakan tindakan tatatertib manakala hukuman paling berat hanyalah dibuang kerja.
BERULANG
“Kerap kali ketua jabatan hanya beri teguran sahaja tanpa ambil tindakan sebab itu kes berulang kali berlaku. Tindakan tatatertib juga tidak diambil dan mereka sorok semua kes serta lindungi mereka yang buat kesalahan.
“Jika tindakan mereka itu dimasukkan ke dalam kategori jenayah, maka barulah hukumannya adalah denda dan juga penjara yang akan menyebabkan para penjawat ini akan menjadi sangat berhati-hati. Oleh itu kita melihatkan kewajaran misconduct public officer law untuk menghukum mereka yang cuai,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan sikap pihak berkuasa yang mengambil mudah teguran Laporan Ketua Audit Negara sebagai punca utama kesilapan sama berulang pada setiap tahun ekoran kegagalan mereka melakukan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap dalang terlibat.
Menurut Jais lagi, kerajaan perlu tegas dan melipatgandakan usaha memerangi rasuah dalam semua aspek dan kakitangan kerajaan yang menjadi tunggak pentadbiran negara perlu diberi penekanan terhadap dua aspek penting iaitu langkah punitif yang tegas dan tidak selektif.
PRINSIP
“Tegas dan tidak selektif ialah dua kata kunci penting dan wajib dijadikan prinsip utama kerajaan serta para petugas atau pemantau integriti di setiap jabatan. Rakyat mahukan kerajaan baharu ini lakukan perubahan dan bukannya omong kosong atau janji tinggal janji,” jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Mohd. Nizam Mohd Isa menegaskan, sebarang pendedahan tidak memberi sebarang makna jika pihak berkuasa gagal melakukan sebarang tindakan segera untuk mengekang ketirisan yang berlaku.
“Kerajaan perlu mengambil penambahbaikan segera terhadap proses perolehan dan tender selain menjalankan proses siasatan dan mendakwa mereka terlibat ekoran pendedahan Laporan Ketua Audit Negara pada selama ini.
“Selain itu, kerajaan hendak mendedahkan usaha-usaha telah diambil untuk menangani ketirisan yang berlaku di samping menerangkan hasil kejayaan pelaksanaanya kepada umum,” katanya. – UTUSAN










