PETALING JAYA: Tiada yang lebih indah daripada mendapat tiupan semangat daripada bekas juara, Datuk Lee Chong Wei kepada sandaran utama negara dalam perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dalam usaha untuk menamatkan penantian lima tahun negara menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.
Ia pembakar semangat buat Jaguh Asia itu untuk mengharungi kejohanan pertama tahun ini selepas edisi lalu, Zii Jia menerima tamparan tersingkir seawal pusingan kedua di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.
Kali terakhir wakil Malaysia meraih gelaran juara dalam acara perseorangan lelaki adalah menerusi Chong Wei sendiri pada 2018.
“Saya harap Zii Jia dapat masuk ke perlawanan akhir dan mungkin akan menampilkan pertarungan yang cukup menarik menentang Axelsen, saya rasa peluang dia agak tinggi sebab saya lihat undian kali ini, walaupun bukan senang kerana kejohanan kali ini sudah naik taraf jadi Super 1000.
“Daripada lima acara, saya harap mungkin dua atau tiga acara kita boleh melihat wakil Malaysia masuk ke final kerana ia akan jadi lebih buat peminat untuk hadir berikan sokongan buat para pemain kita,” jelas Chong Wei menerusi temubual di laman media sosial instagram kelmarin.
Zii jia bakal memulakan perjalanannya hari ini menentang pemain meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka dalam pusingan pertama, dan sekiranya dia berjaya, pemain berusia 25 itu berkemungkinan akan membuat perhitungan dengan rakan senegara, Ng Tze Yong di pusingan kedua esok.
Dalam masa yang sama, Chong Wei yang mempunyai reputasi sebagai 12 kali juara kejohanan ini turut mengakui dewan di Axiata Arena, Bukit Jalil bukanlah gelanggang yang mudah ditawan memandangkan masalah angin kerap membelenggu kebanyakkan pemain yang bertandang untuk bersaing di kejohanan ini.
“Terbuka Malaysia bukanlah satu tempat yang senang untuk beraksi, untuk saya, saya tidak kisah pun beraksi di mana, tetapi bermain di tempat sendiri dengan peminat menjerit ibarat berada di kampung sendiri,” tambah bekas pemain No. 1 Dunia. – UTUSAN











