KUALA LUMPUR: Wanita perlu menonjolkan diri dan membuktikan kecemerlangan ketika bekerja bagi mengelakkan menjadi mangsa diskriminasi berikutan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang memberikan golongan itu cuti bersalin sehingga 98 hari.
Bercakap kepada Ming guan Malaysia, Presiden Pertubuhan Wanita Prihatin Pulau Pinang, Sharifah Noorriati Syed Amirudin berkata, dengan kecemerlangan yang ditunjukkan itu, majikan tetap mahukan, malah mungkin ternanti-nantikan mereka kembali bertugas selepas cuti bersalin.
“Cuti bersalin lebih panjang itu adalah inisiatif yang baik, namun syarikat sudah tentu bimbang jika produktiviti mereka terjejas. Namun, jika mereka terbukti menjadi ‘aset’ kepada syarikat, mereka tidak akan didiskriminasi,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Wanita Sakinah, Wan Nur Fadilah Wan Ismail berkata, tidak adil jika wujud diskriminasi terhadap kaum wanita kerana bukan semua pekerja wanita mengambil cuti bersalin serentak.
“Majikan mempunyai masa untuk bersiap sedia sebelum pekerja wanita mula cuti bersalin dan membahagikan tugas-tugas antara pekerja yang ada. Beban kerja bagi seorang pekerja boleh dikongsi dengan beberapa pekerja lain.
“Cuti 98 hari itu akan memberi ruang kepada pekerja wanita itu untuk bersedia emosi dan fizikal terutama apabila kita semakin berpengetahuan mengenai cabaran wanita selepas melahirkan anak.
“Wanita pula sudah tentu perlu memastikan mereka diperlukan syarikat dengan menonjolkan kebolehan mereka dan bekerja dengan bersungguh-sungguh,’’ katanya. – UTUSAN










