Beri jaminan OPR tak naik Mac

Beri jaminan OPR tak naik Mac

Bank negara
BANK Negara Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan wajar memberi jaminan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak dinaik­kan pada mesyuarat Jawatan­kuasa Dasar Monetari (MPC) Mac ini.

Langkah itu bagi membantu orang ramai terutama mereka yang mahu menceburkan diri dalam perniagaan membuat pinjaman untuk dijadikan modal.

Ia juga bagi memastikan masyarakat tidak terbeban selepas tertekan dengan kos sara hidup yang meninggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Arif berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu mene­liti semua perkara secara menyeluruh sebelum mengambil sebarang keputusan nanti.

BEBAN

Katanya, ini kerana rakyat akan terus menanggung beban dan hidup menderita sekiranya kenaikan OPR berlaku pada Mac depan.

“Walaupun OPR kekal ketika ini tetapi perlu ada jaminan supaya ia tidak dinaikkan pada mesyuarat (MPC) akan datang. Orang yang di atas kena fikir apa yang mereka buat itu (mungkin) boleh memberi kesan kepada rakyat.

“Kita, pertubuhan bukan ke­rajaan (NGO) hanya mampu berunding dengan institusi perbankan (jika peminjam tersepit), itu yang mampu kami lakukan.

“Jadi turun padang (sebelum buat keputusan), baru boleh nampak dan sedar apa yang mereka buat itu mengesankan atau tidak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin media melaporkan, jangkaan OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat MPC kali pertama bagi tahun ini mele­set apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengekalan OPR pada 2.75 peratus.

Ia sekali gus menamatkan kenaikan empat kali tahun lalu da­ripada paras rekod terendah pada 1.75 peratus sebelum ini.

Sementara itu, pakar ekonomi dari City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, keputusan mengekalkan OPR itu diharap dapat diteruskan sehingga hujung tahun ini bagi memboleh­kan ekonomi negara dapat terus berkembang.

PELUANG

Sehubungan itu, katanya, peniaga dan usahawan perlu mengambil peluang ini untuk meningkatkan dan memajukan perkhidmatan mereka.

“Kenaikan OPR menghalang (peniaga) membuat pinjaman banyak dan membantutkan perniagaan mereka, tetapi dalam keadaan sekarang kita perlukan modal pusingan dan modal permulaan.

“Apabila ada modal, kita boleh jana pendapatan, keuntungan dan perniagaan lebih rancak. Apabila ekonomi rancak, kerajaan dapat meraih pendapatan daripada hasil cukai dan rakyat dapat raih kehidupan lebih baik lagi.

“Jadi, biarkan dulu (OPR yang dikekalkan) berterusan kalau boleh sampai enam atau 12 bulan. Kita kena bagi waktu kepada ekonomi untuk naik semula sebab ia memakan masa,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sebarang kenaikan atau penuru­nan itu tetap perlu bergantung kepada keadaan ekonomi terutamanya apabila kebanyakan ahli ekonomi dunia berpanda­ngan sektor itu akan merosot pada tahun ini.

“Tapi kalau terjadi pun kita harap tidak serius dan tidak memberi kesan teruk kepada negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN