Banjir Pahang: Jumlah mangsa menurun 313 orang di Rompin - Utusan Malaysia

Banjir Pahang: Jumlah mangsa menurun 313 orang di Rompin

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir di PPS balai raya Kampung Setajam di Rompin, Pahang. - FOTO /IHSAN JKM ROMPIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keadaan banjir di Rompin kian pulih apabila jumlah mangsa terjejas yang dipindahkan menurun kepada 313 orang daripada 95 buah keluarga ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 12 tengah hari ini.

Jumlah itu menurun berbanding laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang pada pukul 8 pagi tadi berjumlah 353 mangsa daripada 106 buah keluarga di empat buah PPS.

Pengarah APM Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, penurunan jumlah mangsa itu berikutan sebuah PPS iaitu di balai raya Bukit Lepas ditutup pukul 10 pagi hari ini dan seramai 40 mangsa daripada 11 buah keluarga pulang ke rumah masing-masing setelah air surut.

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, mangsa banjir yang masih lagi ditempatkan di PPS, iaitu di balai raya Kampung Setajam seramai 165 orang mangsa daripada 53 buah keluarga dan PPS balai raya Kampung Rekoh seramai 122 orang mangsa (35 buah keluarga) dan balai raya Kampung Denai, iaitu 26 orang mangsa daripada 7 buah keluarga.

“Kesemua mangsa kini dipantau kebajikan mereka oleh anggota APM Rompin dengan kerjasama pihak berkuasa beruniform, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Che Adam, dua buah PPS yang sudah ditutup, iaitu balai raya bandar Perwira Jaya pada 26 Januari lalu dan balai raya Kampung Lepas hari ini berikutan air sudah surut dan keadaan keselamatan terkawal membolehkan mangsa pulang ke rumah masing-masing.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menambah, anak Sungai Pahang di Rompin, iaitu Sungai Keratong di Jambatan Bahau -Keratong masih merekodkan bacaan paras bahaya, iaitu 24.20 meter dalam keadaan tren menurun, manakala Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera dengan aras waspada, iaitu setinggi 30.62 meter juga menurun dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari ini.

“Bagaimanapun, APM bersama anggota pihak berkuasa beruniform lain sedang memantau paras air Sungai Dong berdekatan Kampung Peruas di Raub yang sudah mencatatkan aras waspada, iaitu ketinggian paras 134.00 meter berbanding sebelum ini cuma 133.40
meter dan tren menaik,” katanya.

Ujarnya, hujan lebat dan ribut petir dilaporkan masih berlaku di kebanyakan tempat di 11 buah daerah negeri ini mulai petang hari ini hingga ke malam esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya