Awang ‘parang’ teruskan tradisi keluarga

Awang ‘parang’ teruskan tradisi keluarga

STEVEN Aloy menunjukkan parang yang dihasilkan secara tradisi semasa ditemui di Keningau baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENINGAU: Mewarisi kemahiran membuat parang tradisi yang dipelajari daripada bapa mentua membolehkan Steven Aloy, 64, mencipta peluang perniagaan dengan meneruskan tradisi keluarga mentuanya itu.

Steven atau lebih dikenali sebagai Awang Parang belajar membuat parang sejak tahun 1970-an dan kemahiran itu kini diwarisi oleh anak-anaknya.

Kemahiran yang dipelajari bagi mengisi masa lapang suatu ketika dahulu kini, membolehkan beliau memperoleh pendapatan sampingan kerana harga parang boleh mencecah sehingga RM500 bagi sebilah parang.

Beliau yang menetap di Kampung Mansiang Baru itu berkata, parang yang dihasilkannya mengambil masa sehari hingga sebulan untuk dihasilkan bergantung kepada permintaan pelanggan dan kualiti kayu yang digunakan.

“Untuk badan parang yang perlu diukir, ia boleh mengambil masa selama sebulan kerana ukiran pada bahagian besi memerlukan ketelitian dan masa yang lama untuk mengukir.

“Namun, ukiran pada hulu parang yang diperbuat daripada kayu hanya mengambil masa antara sehari hingga seminggu untuk disiapkan bergantung kepada bentuk ukiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Awang berkata, kebiasaannya beliau hanya menjual parang di tamu mingguan di pekan maka, pelanggannya dalam kalangan penduduk tempatan.

Menurutnya, beliau turut menyertai kursus kraftangan anjuran Yayasan Sabah dan itu membolehkan beliau meningkatkan kemahiran serta memperluas pasaran produk parang.

Ada kalanya, beliau juga menyertai pameran kraftangan yang diadakan di Semenanjung Malaysia dan ia memberi peluang kepadanya untuk pamerkan hasil kerja tangan kepada masyarakat di luar Sabah.

Pameran sebegitu membuka ruang kepada pengusaha parang kecil-kecilan sepertinya untuk menonjolkan bakat dan hasil kerja mereka kepada masyarakat luar.

Mengulas lanjut katanya, parang yang dihasilkan biasanya digunakan untuk tujuan berkebun namun, ada juga pelanggan membeli parang untuk dijadikan hiasan.

Jelas beliau, aspek paling penting dalam menghasilkan parang ialah ketajaman kerana parang yang hulunya cantik dengan ukiran tidak akan berguna sekiranya ia tidak tajam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN