Akta Kerja: Lebih 15,000 pekerja teraniaya - Utusan Malaysia

Akta Kerja: Lebih 15,000 pekerja teraniaya

Majikan diingatkan agar mematuhi semua terma dalam Akta Kerja 1955 (Pindaann 2022).- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 15,000 pekerja didakwa teraniaya kerana masih terdapat majikan yang tidak akur melaksanakan pe­ngurangan waktu bekerja 45 jam seminggu selepas pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa, banyak aduan diterima daripada pekerja dan empat kesatuan sekerja yang kebanyakannya berkaitan dengan pekerja pembersihan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, kebanyakan aduan membabitkan pelaksanaan waktu kerja yang dikurangkan kepada 45 jam seminggu yang masih lagi tidak dilaksanakan.

Malah, katanya, lebih mengecewakan adalah apabila terdapat majikan mengubah amalan syarikat dengan meminda terma-terma perkhidmatan tanpa persetujuan pekerja.

Menurut beliau, sebelum pindaan akta kerja, majikan membayar upah bagi masa waktu rehat, tetapi selepas pindaan dikuatkuasakan, majikan tidak membayar upah bagi masa waktu rehat.

MAJIKAN

“Majikan mengubah terma perkhidmatan supaya waktu kerja adalah 45 jam. Contohnya, jika sebelum ini tempoh bekerja bermula pukul 7 pagi hingga 3 petang, waktu bekerja lapan jam sehari termasuk waktu rehat (yang dibayar), maka ia betul mengikut undang-undang (sebelum dipinda) kerana jumlah waktu kerja selama enam hari adalah 48 jam.

“Tetapi selepas (Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022) dikuatkuasakan, tempoh bekerja tetap sama iaitu bermula dari pukul 7 pagi hingga pukul 3 petang, tetapi waktu rehat tidak termasuk sebagai waktu bekerja (tidak dibayar) membolehkan waktu bekerja dalam sehari dikira tujuh jam supaya selaras maka majikan tafsirkan waktu bekerja dalam sehari adalah tujuh jam supaya selaras pengurangan 45 jam seminggu.

“Jadi tak ada penambahbaikan kerana tempoh berada di syarikat tidak berubah, sedang­kan kerajaan melaksanakan usa­ha itu adalah untuk memberi keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan kepada pekerja. Namun, malangnya majikan menggunakan cara lain untuk memaksa pekerja berada di syarikat dengan tempoh 48 jam,” katanya.

Penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 September tahun lepas hanya dikuatkuasakan awal Januari lalu.

Pindaan itu antaranya meliputi pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari, dan larangan diskriminasi dalam pekerjaan.

Mengulas lanjut, Kamarul baharin berkata, MTUC menggesa kerajaan membuat pemeriksaan ke atas semua syarikat secara berkala supaya pindaan Akta Kerja itu memberi manfaat kepada pekerja.
Katanya, kementerian perlu bertindak tegas terhadap majikan sekalipun memerlukan pendakwaan dilakukan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN